Jualan kenderaan 2022 tertinggi dalam sejarah

Jualan kenderaan 2022 tertinggi dalam sejarah

JUALAN kenderaan negara mencecah 720,658 unit sepanjang tahun lalu, sekali gus mencatat sejarah dalam sektor automatif Malaysia.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) yang tertinggi sepanjang zaman itu, melepasi sasaran awal MAA iaitu 630,000 unit.

Menurutnya, ia didorong oleh permintaan untuk kenderaan baharu, terutamanya pada separuh pertama tahun 2022.

“Selain itu, keputusan pihak berkuasa untuk membenarkan pembeli dengan tempahan yang disahkan (dengan pengecualian cukai jualan) mendaftarkan kenderaan penumpang baharu mereka selewat-lewatnya pada 31 Mac 2023.

“Ia juga disebabkan oleh kesan asas yang rendah,” mengikut laporan Bernama.

Aishah membuat pengumuman berkenaan semasa sidang akhbar pengumuman prestasi Industri Automotif 2022 di Petaling Jaya, pada Khamis.

Bagaimanapun, Malaysia diunjurkan mencatatkan TIV sebanyak 650,000 unit pada 2023, turun 9.8 peratus daripada 720,658 unit yang didaftarkan tahun lepas.

Kenderaan penumpang dan komersial pula dijangka mencapai jualan masing-masing sebanyak 585,000 dan 65,000 unit pada tahun ini.

“Sebab utama penurunan dalam ramalan TIV kami ialah tamatnya pengecualian cukai jualan pada 31 Mac 2023.

“Selepas tempoh itu, tiada pengecualian cukai jualan dan kebanyakan pelanggan telah membuat tempahan ke hadapan. Sebab itu kami menjangkakan selepas suku pertama tahun 2023, pesanan akan turun dan perlahan,” ujar beliau.

Tambahnya, jumlah pendaftaran kenderaan penumpang baharu pada 2022 meningkat kepada 641,773 unit daripada 452,486 unit pada 2021 iaitu meningkat 189,287 unit atau 41.8 peratus.

Segmen kenderaan komersial juga mencatatkan pertumbuhan tinggi sebanyak 39.9 peratus atau 22,488 unit untuk mencapai 78,885 unit.

“Peningkatan dalam jualan kenderaan komersial adalah disebabkan oleh permintaan yang meningkat apabila syarikat mula melabur dengan menjangkakan pemulihan ekonomi selepas dua tahun kelembapan akibat kesan pandemik Covid-19.

“Jumlah pengeluaran industri (TIP) kenderaan baharu pada 2022 meningkat sebanyak 220,624 unit atau 45.8 peratus untuk mencapai jumlah keseluruhan 702,275 unit berbanding 481,651 unit pada 2021,” jelasnya.

INFO: TIV antara 2014 hingga 2022

2022 – 720,658 unit

2021 – 508,911 unit

2020 – 529,514 unit

2019 – 604,287 unit

2018 – 598,598 unit

2017 – 576,635 unit

2016 – 580,085 unit

2015 – 666,674 unit

2014 – 666,487 unit

Sumber