Iktiraf usahawan guna media sosial majukan perniagaan

Iktiraf usahawan guna media sosial majukan perniagaan

MAJLIS Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2022 yang diadakan di sebuah hotel pada Khamis mencipta kelainan apabila buat pertama kalinya penganjur memperkenalkan Anugerah Agropreneur Viral.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, anugerah baharu itu dibuat bagi mengiktiraf usahawan yang aktif menggunakan media sosial untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Menurutnya, ianya bagi menyuntik semangat tiga penerima yang terpilih menjadi contoh kepada usahawan yang lain untuk turut aktif menggunakan medium itu bagi mempromosikan perusahaan masing-masing.

“Anugerah baharu ini membuktikan peranan media sosial penting dalam membantu mempromosikan perusahaan masing-masing untuk dikenali dan mendapat tempat dalam pasaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2022 yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Jelas Tengku Ahmad Badli, untuk tahun ini sebanyak 1,457 usahawan mikro kecil telah dibantu membabitkan dana berjumlah RM2.8 juta yang sebahagiannya merupakan wang zakat.

”Anugerah itu juga bertujuan untuk mengiktiraf kejayaan pelanggan Agrobank dalam membangunkan dan mengembangkan perniagaan berasaskan pertanian.

“Hal ini dapat dilaksanakan melalui penglibatan Agrobank Centre of Excellent (ACE) di mana kami menyediakan perkhidmatan berkonsepkan latihan keusahawanan merangkumi seni urus kewangan, pemasaran digital, pengembangan perniagaan, pengurusan perniagaan dan sebagainya, khusus buat para usahawan Agrobank dalam melengkapkan dan memperkasakan kemahiran soft skills mereka,” katanya.

Mohd Sabu (enam dari kiri) dan Tengku Ahmad Badli (empat dari kanan) bersama pemenang pada Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2022 yang diadakan di sebuah hotel pada Khamis. - Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Mohd Sabu (enam dari kiri) dan Tengku Ahmad Badli (empat dari kanan) bersama pemenang pada Majlis Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2022 yang diadakan di sebuah hotel pada Khamis. – Foto Sinar Harian MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Tambahnya lagi, setakat ini 1,020 peserta telah mendapat manfaat daripada program-program yang telah dilaksanakan oleh ACE.

Pada majlis anugerah kali ini, terdapat tujuh kategori yang dipertandingkan antaranya Anugerah Agopereneur Muda; Anugerah Agropreneur Mikro; Anugerah Agropreneur orang kelainan upaya OKU; Anugerah Agropreneur Wanita; Anugerah Pelanggan Setia (Individu) dan Anugerah Pelanggan Setia (Syarikat) dan Anugerah Khas-Ikon Inkubator.

Pemenang anugerah membawa pulang sebuah trofi, sijil dan wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM70,000.

Sementara itu, penerima Anugerah Agropreneur OKU, Rahim Yusoff, 56, ketika ditemui berkata, kejayaan tidak akan datang tanpa usaha.

Beliau yang membawa pulang wang tunai RM5,000 sijil serta trofi memberitahu, bermula membela tiga ekor lembu kini dia mempunyai lebih 15 ekor lembu yang diternak di Kampung Bukit Pulau Condong, Machang, Kelantan.

“Alhamdulillah, kami turut mengusahakan jualan telur masin, cuka kecil-kecilan di bawah jenama ‘Poksu Mie’,” katanya.

Sumber