Ibu Nakhoda Hidup perkasa usahawan wanita

Ibu Nakhoda Hidup perkasa usahawan wanita

TABUNG ‘Hulurkan Harapan’ yang dilaksanakan di bawah program Ibu Nakhoda Hidup 2023 berjaya mengumpul sebanyak RM95,000 dalam tempoh 45 hari bagi memperkasakan usahawan wanita bergelar ibu di seluruh negara sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

Melalui dana itu, enam tokoh ‘Ibu Nakhoda Hidup’ tahun ini dibantu dengan kelengkapan mengikut keperluan masing-masing sama ada dalam bentuk barangan, perkhidmatan atau keperluan asas bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Pemilihan itu dibuat setelah penelitian dilakukan terhadap 104 usahawan yang ditemubual di pelbagai lokasi yang melibatkan sepuluh negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Program tersebut merupakan usahasama Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Procter & Gamble (P&G) Malaysia dan Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls).

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad (Mydin), Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, Mydin berbesar hati meneruskan kerjasama dengan P&G Malaysia dan Singapura serta WOMEN: girls dalam memperkaya kemahiran keusahawanan ibu-ibu melalui program ini.

“Kami komited untuk menggalakkan dan melengkapkan ibu usahawan dengan pendedahan, sumber dan persekitaran yang dapat memberi semangat untuk berkembang maju.

“Komitmen kami juga terzahir dengan sumbangan yang besar dalam usaha melahirkan masyarakat lebih komprehensif dan memajukan ekonomi negara, ” katanya pada Selasa.

Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holding Berhad (Mydin), Datuk Murad Ali Mydin (tengah) dan Pengurus Serantau, P&G Malaysia dan Singapura, Nantha Kumaran Kalimuthu (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Pengarah Eksekutif Women:girls, Izza Izelan (kanan) pada Majlis Penutupan Ibu Nakhoda Hidup 2023 di Mydin Subang Jaya pada Selasa. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Pengarah Eksekutif Mydin Mohamed Holding Berhad (Mydin), Datuk Murad Ali Mydin (tengah) dan Pengurus Serantau, P&G Malaysia dan Singapura, Nantha Kumaran Kalimuthu (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Pengarah Eksekutif Women:girls, Izza Izelan (kanan) pada Majlis Penutupan Ibu Nakhoda Hidup 2023 di Mydin Subang Jaya pada Selasa. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Tambah Ameer Ali, program berkenaan sekali lagi melambangkan dedikasi dan keazaman ketiga-tiga organisasi untuk memperkasa usahawan wanita, menyemarakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi impak yang berkekalan dalam masyarakat Malaysia.

“Daripada penjual aiskrim sehingga guru muzik, inisiatif ini telah membantu 25 ibu usahawan di Malaysia, menangani cabaran untuk membina perniagaan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Komersial P&G Malaysia, Nantha Kumaran Kalimuthu berkata, setiap lima sen daripada pembelian produk P&G bernilai RM10 ke atas di Mydin sejak bermula 15 Mei hingga 30 Jun disumbangkan ke Tabung Hulurkan Harapan.

Katanya, dari situ mereka berjaya mengumpul dana untuk membantu ibu bertuah yang telah terpilih.

“Dengan sokongan dan bantuan yang diberikan kepada golongan wanita ia bukan sahaja memberi kesan kepada mereka malah komuniti juga. Contohnya dapat meningkatkan taraf pendidikan anak-anak selain memperoleh kehidupan yang lebih baik.

“Biasanya usahawan wanita ini mempunyai semangat yang tinggi dan akan meneruskan usaha dalam tempoh yang lama. Apa yang menggembirakan kami, usahawan yang pernah dibantu sebelum ini kini masih meneruskan perniagaan bahkan semakin berkembang,” jelasnya.

Sumber