HLB raih untung bersih RM2.95 juta

HLB raih untung bersih RM2.95 juta

Hong Leong Bank Berhad - Foto Bernama

Hong Leong Bank Berhad – Foto Bernama

KEUNTUNGAN bersih Hong Leong Bank Berhad (HLB) selepas cukai untuk sembilan bulan berakhir 31 Mac 2023 (9MFY23) meningkat 24 peratus kepada RM2.95 juta dan pendapatan sebanyak RM4.38 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, momentum pertumbuhan pinjaman kasar dan pembiayaan juga berterusan berkembang sebanyak 7.2 peratus kepada RM174.2 bilion.

“Kualiti aset yang kukuh dikekalkan dengan nisbah Pinjaman Terjejas Kasar (GIL) sebanyak 0.52 peratus dan nisbah perlindungan kemerosotan nilai pinjaman berhemat (LIC) sebanyak 197 peratus.

“Kedudukan modal dan kecairan yang teguh dengan nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET 1), Tahap 1 dan Jumlah Modal masing-masing pada 12.9, 13.9 dan 16 peratus manakala nisbah Pinjaman kepada Deposit (LDR) dan Nisbah Perlindungan Kecairan (LCR) masing-masing diuruskan pada 84 dan 140 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Dominec, pihaknya tetap optimis dengan prospek perniagaan untuk baki tahun 2023.

“Kami berpuas hati dengan prestasi asas HLB yang kukuh sepanjang tahun didorong dengan pertumbuhan pinjaman kukuh, kualiti aset yang mantap dan kedudukan pendanaan selain kecairan berhemat di tengah-tengah landskap global yang perlahan.

“Walaupun ketidaktentuan sektor perbankan di Amerika Syarikat dan Eropah dilihat terbendung setakat ini, risiko kemelesetan dalam kalangan ekonomi utama akan terus menyelubungi tinjauan pertumbuhan global,” katanya.

Sumber