Gimnasium Musclemax taruhan Eddy

Gimnasium Musclemax taruhan Eddy

KETIKA melangkah masuk ke Gimnasium Musclemax yang terletak di Seksyen 7, Bangi, Selangor, penulis terpegun melihat banyak sekali peralatan senaman.

Setiap mesin disusun kemas. Meskipun baru dibuka pada jam 1 petang, sudah kelihatan kelibat beberapa pelanggan sedang memanaskan badan.

Gimnasium tersebut yang dibuka pada tahun 2016 diasaskan oleh Md Muhidi Md Moid, 33. Beliau yang mesra dipanggil Eddy, seorang yang sangat obses terhadap senaman di gim.

Kepada Oh! Lelaki, Eddy berkata, belliau memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam sehari untuk bersenam.

“Jika saya meninggalkan aktiviti terlalu lama, badan saya akan sakit-sakit. Seperti ada sesuatu yang tidak kena,” katanya seraya gelak kecil.

Dorongan

Menyelak cerita bagaimana beliau mula terjebak dengan aktiviti gimnasium, Eddy memberitahu, ia berlaku ketika usianya 18 tahun.

“Saya memohon jawatan sebagai pegawai penjara tetapi gagal kerana berat badan saya hanya 40kg. “Pegawai yang menemuduga minta saya datang pada sesi lain. Dia suruh mantapkan fizikal dahulu untuk dapatkan kerja tersebut.

“Sejak itu, saya mula ke gimnasium untuk mantapkan otot. Bila sudah bersedia fizikal dan mental, saya cuba sekali lagi temu duga, namun masih juga tak berjaya,” imbau Eddy. Melihat sisi positif daripada kegagalan itu, lelaki ini berkata, beliau tidak mampu untuk meninggalkan aktiviti senaman.

Sejak itu, beliau menjadi semakin obses untuk menyihatkan diri.

Kanser tulang lutut

Bagaimanapun, kesungguhan bersenam diragut dengan perkhabaran sedih apabila beliau disahkan menghidap kanser pada tahun 2008. Kanser itu menyerang anggota lutut bahagian kanan.

Disebabkan tidak mampu berbuat apa-apa, Eddy terpaksa terima hakikat hilang pekerjaan. Dua tahun terlantar di katil, sehinggalah doktor menyarankannya menjalani pembedahan pada tahun 2010.

Tulang lututnya diganti dengan besi dan perlu menjalani fisioterapi. Merasakan dirinya perlu bangkit cepat, Eddy membuat rawatan fisioterapi sendiri dengan kembali ke gimnasium.

Atas restu Maha Esa dan berkat usahanya, akhirnya beliau mampu berjalan dengan hanya mengambil masa empat bulan.

“Doktor sendiri tidak percaya sebab saya sepatutnya mengambil masa paling kurang enam bulan hingga setahun untuk kembali boleh berjalan,” katanya yang bersyukur sudah mempunyai

kemahiran bersenam sebelum disahkan menghidap kanser.

Buka gimnasium

Di sebalik ‘keajaiban’ itu, Eddy mula terfikir akan masa depannya. Lalu tercetuslah idea membuka Gimnasium Musclemax. Bukan mudah baginya yang sudah dua tahun tidak bekerja untuk mendapatkan modal. Namun, usaha tangga kejayaan.

“Saya bekerja di kilang dan membuat kerja sampingan dengan menjual produk kesihatan. Kegigihan itu membolehkan saya mengumpul RM43,000 dalam masa tiga tahun, Alhamdulillah,” ujarnya.

Dengan bantuan seorang rakan dan ilmu yang dicedok daripada mengunjungi pelbagai jenis pusat senaman, Eddy akhirnya merealisasikan pembukaan sebuah gimnasium.

Memanfaatkan modal tersebut, Eddy membeli hampir kebanyakan peralatan dari China kerana lebih murah.

Selebihnya dia membeli peralatan sedikit demi sedikit bagi melengkapkan keperluan gimnasiumnya. Kini, Eddy mempunyai lebih daripada 40 jenis peralatan, dibantu oleh seorang pekerja dan ada lebih kurang 400 pelanggan tetap.

Tarikan

Musclemax mengenakan yuran yang rendah sebanyak RM60 sebulan dan caj RM5 untuk satu hari tanpa had.

Banyak sebab premisnya dikunjungi ramai. Ada yang datang demi menjaga kesihatan tubuh badan. Tidak kurang juga yang hadir untuk mendapatkan tubuh idaman dan ada juga atas faktor penyakit.

“Keselamatan lebih terjamin apabila kita melakukan senaman di gimnasium berbanding membuat aktiviti luar. “Setakat ini pun saya tak pernah lihat pelanggan cedera ketika melakukan senaman. Tapi jika terseliuh anggota badan itu perkara biasa. Ia berlaku apabila pelanggan menggunakan mesin lebih daripada keupayaan mereka,” kata lelaki ini.

Nasihat Eddy jangan serik untuk berkunjung ke gimnasium apabila anda berasa tidak selesa anggota badan pada peringkat permulaan. Ia perkara biasa bagi membolehkan anggota badan membiasakan diri dengan senaman yang dibuat. “Apa yang perlu meneruskan senaman dan jangan berhenti,” katanya mengakhiri perbualan hari itu.

PORTFOLIO

NAMA: Md. Muhidi Md Moid/Eddy

UMUR: 33

ASAL: Sungai Ramal, Kajang

STATUS: Berkahwin

PERALATAN MESIN DI GYMANSIUAM: Smith machine, Lat Pull- Down Machine, Seated Row Machine, Leg Press Machine, Preacher Curl Machine and Cable Crossover Machine.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *