Gabung Warisan Nusantara dan Kreativiti Moden, AKAR//NEXT 2026 Gegarkan Central Market, Kuala Lumpur

Pentas utama festival AKAR//NEXT 2026 di Central Market pada waktu malam dengan persembahan muzik langsung di hadapan pengunjung

Gabung Warisan Nusantara dan Kreativiti Moden di AKAR//NEXT 2026

Central Market sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai nadi seni dan budaya ibu kota apabila menjadi tuan rumah kepada festival AKAR//NEXT 2026 yang menerima kunjungan lebih 50,000 orang dari 30 Oktober hingga 1 November 2026. Penganjuran oleh Goodseed Event bersama penaja utama Hotlink ini mengangkat tema “One Root. Infinite Futures.” bagi menyatukan akar warisan Nusantara dengan ekspresi kreatif generasi masa kini.

Persembahan gabungan muzik elektronik dan alat muzik gendang tradisional pada pentas AKAR//NEXT 2026

23 Persembahan Muzik dan Kebudayaan Tradisional di AKAR//NEXT 2026

Sepanjang tiga hari berlangsung di ruang dalaman Pasar Seni, kawasan parkir serta Benteng Pasar Seni, festival ini menampilkan 23 persembahan muzik dan kebudayaan. Pengunjung disajikan dengan kelainan bunyi menerusi gabungan Afrobeat, muzik elektronik serta instrumen tradisional seperti Gambus dan Tabla klasik yang diolah secara moden. Antara penghibur yang menjayakan acara termasuk D’Pujangga, Satwo, Aliff dan OUG.

Penari kebudayaan memakai busana tradisional berwarna hijau dan merah membuat persembahan jalanan di festival AKAR//NEXT 2026

Keunikan budaya tempatan turut diserlahkan melalui persembahan Gamelan, Cak Lempong, Ghazal, Teater Randai, Dikir Barat dan tarian tradisional yang berjaya memikat perhatian pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan Gen Z. Selain hiburan pentas, festival ini turut mesra keluarga dengan adanya ruang melukis kanak-kanak serta permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban yang mengimbau nostalgia.

Reruai jualan pakaian dan produk tempatan di bawah kempen INKlusif semasa festival AKAR//NEXT 2026

160 Vendor Makanan dan Jenama Lokal Meriahkan AKAR//NEXT 2026

Dalam aspek ekonomi kreatif, sebanyak 160 vendor menghidupkan suasana dengan menawarkan pelbagai pilihan makanan, minuman serta produk gaya hidup. Pengunjung berpeluang menikmati juadah seperti Beriani Johor, Tahu Begedil, Popiah Fusion, Takoyaki, Tahu Crispy, sajian tradisi Sabah, pencuci mulut serta minuman kopi dan matcha. Deretan reruai fesyen yang menjual pakaian, minyak wangi, kasut, beg tangan dan aksesori tempatan turut menyemarakkan semangat menyokong jenama lokal, sekali gus menjadikan AKAR//NEXT 2026 sebuah festival budaya yang menyeluruh.