FGV kekal melabur, kembangkan rangkaian perniagaan tani lestari

FGV kekal melabur, kembangkan rangkaian perniagaan tani lestari

FGV Holdings Bhd (FGV) kekal komited untuk terus melabur dan berkembang ke arah perniagaan tani lestari dan sinergi yang lebih luas selain menyasar untuk bergerak ke arah aktiviti perniagaan lebih bernilai tinggi untuk mencapai pulangan lebih stabil.

Menurut kenyataan pada Jumaat, FGV menjelaskan perkara itu merupakan antara resolusi yang diluluskan oleh para pemegang sahamnya semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-14 yang diadakan secara maya pada Khamis.

FGV menambah, semasa AGM itu, Pengerusi, Datuk Dzulkifli Abd Wahab berkata, FGV berhasrat menjadi antara perniagaan tani mampan terulung di dunia dengan jenama produk bereputasi tinggi dan keupayaan pengedaran yang kukuh.

“Selain itu, kita juga memajukan usaha kelestarian FGV sebagai syarikat perniagaan tani dan makanan pertama di Malaysia yang merangka sasaran Pelan Tindakan Iklim dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” katanya.

Beliau berkata, FGV juga berhasrat mengubah naratif kelapa sawit Malaysia dengan memastikan pertimbangan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terus menjadi keutamaan dalam hal ehwal FGV.

“Kita percaya ini adalah kunci untuk memperjuangkan kebaikan minyak sawit yang mampan di peringkat global dan membantu industri untuk mendapat penerimaan serta sokongan antarabangsa. Ini juga adalah antara langkah untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat,” katanya.

Menurut FGV, para pemegang saham juga telah meluluskan kesemua 13 resolusi semasa AGM itu.

Selain itu, antara agenda yang dibentangkan adalah kenaikan yuran dan elaun pengerusi dan lembaga pengarah seperti dicadangkan setelah mengambil kira kekompleksan dan jumlah perniagaan vertikal FGV berbanding syarikat perladangan lain, jelasnya.

“Bagi 2022, FGV akan memastikan Pelan Strategik Perniagaan berupaya menyediakan manfaat kepada pemegang saham khususnya peneroka Felda terutama apabila Felda telah menjadi pemegang saham terbesar pada penghujung 2021 dengan jumlah saham 79.80 peratus,” tambah syarikat itu.

Menurut FGV, ia menjangka dapat menjalinkan sinergi yang bermanfaat menerusi hubungan yang lebih rapat antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV, dipacu oleh komunikasi jelas mengenai perkongsian matlamat dan jajaran strategik yang lebih responsif.

Pada jam 10.25 pagi, saham FGV meningkat empat sen kepada RM1.54, denga 74,100 unit bertukar tangan. -Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber