Etiqa tawar pakej perlindungan Tesla Ensure kepada pemilik Tesla

Etiqa tawar pakej perlindungan Tesla Ensure kepada pemilik Tesla

ETIQA hari ini mengumumkan penawaran pakej perlindungan Tesla Ensure yang komprehensif dan eksklusif kepada pemilik Tesla di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, ia berkata, pakej itu yang mengandungi perlindungan untuk kabel pengecas mudah alih kenderaan elektrik (EV) dan tambahan perlindungan ini selaras dengan sasaran kerajaan bagi mengembangkan pasaran kenderaan EV kepada 38 peratus daripada jumlah kenderaan yang dijual menjelang 2040.

Pelan insurans dan takaful motor ini ditaja jamin oleh Etiqa General Insurance Bhd dan Etiqa General Takaful Bhd.

“Selain daripada pakej motor asas Etiqa, pemilik polisi dan sijil Tesla Ensure akan menerima perlindungan percuma untuk pengecas EV di rumah, yang mana ia memberikan pembayaran balik sehingga RM12,000 bagi menggantikan atau membaiki pengecas EV di rumah yang hilang atau rosak,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurance dan Takaful, Kamaludin Ahmad menegaskan, komitmen Etiqa terhadap kelestarian dengan memperkenalkan Tesla Ensure, satu pakej perlindungan khas yang direka khas untuk pemilik Tesla.

“Sebagai sebuah syarikat insurans dan takaful terkemuka yang memperjuangkan kelestarian, Etiqa berusaha untuk mengurangkan kebimbangan dalam kalangan pemilik kenderaan Tesla terhadap semua keperluan perlindungan mereka.

“Dengan inisiatif ini yang menyediakan perlindungan menyeluruh termasuk perlindungan untuk pemandu dan kenderaan, pemilik Tesla akan berasa yakin dan tenang ketika memandu Tesla baharu mereka,” katanya.

Tesla Ensure juga turut menawarkan bantuan khas untuk kerugian menyeluruh (total lost) dan kecurian, perlindungan kemalangan peribadi untuk individu yang diinsuranskan, bantuan banjir, manfaat ihsan, pelepasan caj berlebihan dan rebat tunai sehingga 30 peratus dengan tambahan ‘Drive Less Save More’. – Bernama

Sumber