ERL buka semula kemudahan daftar masuk penerbangan, bagasi

ERL buka semula kemudahan daftar masuk penerbangan, bagasi

EXPRESS Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan membuka semula kemudahan daftar masuk penerbangan dan penurunan bagasi bagi semua penumpang dalam bandar di Stesen KL Sentral.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor berkata, pembukaan semula itu bertujuan menawarkan kemudahan kepada pengembara, faedah menjimatkan masa dan keselesaan tiba di lapangan terbang tanpa perlu membawa bagasi.

Menurutnya, sebagai permulaan, perkhidmatan itu akan dapat diakses secara eksklusif oleh penumpang Malaysia Airlines selepas operasi disambung semula, dan akan disertai oleh syarikat penerbangan lain selepas itu.

“Kami gembira kerana akhirnya dapat membuka semula kemudahan daftar masuk penerbangan dalam bandar untuk penumpang setia kami yang telah meminta perkhidmatan ini selepas pandemik Covid-19.

“Dengan jumlah penumpang kami yang semakin meningkat, ini masa yang sesuai untuk memulakan semula perkhidmatan daftar masuk.

“Apabila kami mula beroperasi pada tahun 2002, Malaysia Airlines adalah syarikat penerbangan pertama yang menawarkan perkhidmatan daftar masuk dan adalah wajar untuk melancarkan semula dengan mereka sekali lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Noormah berkata, melalui kemudahan tersebut, pengembara boleh mengelakkan daripada beratur di lapangan terbang, mempunyai masa menikmati hidangan makanan, tukar mata wang, atau membeli-belah sementara menunggu menaiki penerbangan mereka.

“Penumpang boleh yakin bahawa bagasi mereka akan dipindahkan dengan selamat ke lapangan terbang, seperti yang kami lakukan dalam 17 tahun lalu sebelum wabak dengan rekod yang hampir sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Malaysia Aviation Group, Lau Yin May berkata, kemudahan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya dalam menyediakan pelanggan dengan fleksibiliti dan memastikan perjalanan mereka adalah pengalaman yang lancar sepanjang masa.

“Memandangkan ramai yang ingin meneroka dunia sekali lagi, keutamaan kami kekal dalam memastikan perjalanan hujung ke hujung yang selamat dan lancar untuk penumpang kami, dari saat mereka menempah penerbangan mereka sehingga ke destinasi ketibaan mereka.

“Kami juga telah memilih pelbagai produk untuk menjadikan pengalaman perjalanan semudah mungkin, seperti produk MHflypass yang membenarkan tiga perjalanan pergi balik dalam setahun ke destinasi Malaysia dan ASEAN, serta melalui pelbagai keluarga tambang kami yang menawarkan faedah yang sangat fleksibel dan mudah, termasuk pertukaran penerbangan percuma iaitu memperkasakan pelanggan untuk menyesuaikan jadual perjalanan mereka mengikut keperluan mereka,” ujarnya.

Bagi mengucapkan terima kasih kepada penumpang setianya, ERL menawarkan potongan RM10 untuk pembelian tiket KLIA Ekspres seterusnya.

Baucar RM10, tersedia untuk masa terhad, akan diberikan kepada setiap penumpang dewasa yang menggunakan kemudahan daftar masuk syarikat penerbangan di KL Sentral dan sah untuk penebusan sehingga 31 Disember 2023.

Penumpang Malaysia Airlines yang melakukan perjalanan domestik atau antarabangsa yang menggunakan kemudahan daftar masuk dalam bandar mesti mendaftar masuk sekurang-kurangnya 2 jam sebelum waktu berlepas penerbangan mereka.

Penumpang boleh melayari www.KLIAekspres.com untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan daftar masuk penerbangan dalam bandar dan tawaran terkini kami.

Sumber