Dosz Coffee sasar buka 100 outlet seluruh negara

Dosz Coffee sasar buka 100 outlet seluruh negara

DOSZ Coffee melancarkan pembukaan outlet kelapan di kawasan Lembah Klang sempena menyambut ulang tahun yang pertama bagi jenama itu pada Isnin.

Pengarah Urusannya, Mohd Noor Effendy Sarmin berkata, pihaknya menyasarkan untuk membuka sebanyak 100 outlet dalam tempoh tiga hingga lima tahun ini susulan jenama tersebut berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan orang ramai khususnya penggemar kopi.

“Insya-ALLAH sasaran saya tahun ini kita akan ada sekurang-kurangnya 15 outlet dan pada bulan Julai depan kita akan buka satu (cawangan) di Nilai, Negeri Sembilan yang mana kita buat satu konsep kedai ‘eco-friendly’ (mesra alam).

“Objektif kami sepanjang tiga hingga lima tahun ini, memang (kita sasar buka) 100 outlet. Paling hampir bulan depan (kita akan buka cawangan) di Melaka, Pulau Pinang dan Johor Baharu.

“Kami memang tak sangka berjaya kembangkan perniagaan kami secepat ini tetapi alhamdulillah ramai yang hubungi kami melalui Instagram, tanya bila nak buka (cawangan) di Damansara dan sebagainya. Jadi saya rasa sambutan yang amat menggalakkan dari mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Ulang Tahun Pertama Dosz Coffee dan pelancaran outlet terbarunya di lobi Menara Allianz Central pada Isnin.

Ujar Mohd Noor Effendy, pihaknya juga bakal melancarkan sistem aplikasi bagi memudahkan proses pembelian dan pembayaran untuk pelanggan.

Menurutnya, Dosz Coffee selaku jenama tempatan mampu bersaing berkembang lebih jauh, setanding dengan produk-produk kopi luar negara yang lain meskipun berada di pasaran selama setahun lebih.

“Dari segi penghantaran, buat masa sekarang ini, kita ada Grab, FoodPanda dan Shopee. Sekarang ini, saya juga sedang berurusan dengan pihak pembekal lain untuk membekalkan perkhidmatan penghantaran.

“Insya-ALLAH kami akan cuba menaikkan industri kopi di Malaysia ini, yang mana kita harap dengan sokongan dari orang ramai dan mengetengahkan penggunaan bahan berkualiti semuanya daripada pasaran tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Operasi Dosz Coffee, Mohd Fariq Khalid berkata, selain menawarkan harga yang berpatutan, menu Dosz Coffee juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri di mana ia menggunakan bahan-bahan berkualiti daripada jenama pasaran tempatan.

“Sebenarnya kita memang menyokong dan nak memajukan jenama tempatan, sebab kita tengok susah di Malaysia ini untuk produk lokal maju.

“Jadi saya sasar, kita nak eksklusifkan jenama Dosz Coffee dan bahan-bahan produk tersebut. Sekarang (kita tengah kaji) macam mana nak buat jenama Dosz Coffee ini pegi lagi jauh,” jelasnya.

Sumber