Dagangan Malaysia-Indonesia 2022 dijangka tumbuh 30 peratus

Dagangan Malaysia-Indonesia 2022 dijangka tumbuh 30 peratus

JUMLAH perdagangan Malaysia dan Indonesia bagi 2022 bakal mencatat pertumbuhan melebihi 30 peratus tahun ke tahun berbanding 2021 susulan langkah kedua-dua negara membuka semula sempadan, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, di peringkat ASEAN pula, Indonesia merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia selain menjadi sumber pelaburan langsung asing (FDI) ketiga terbesar.

Beliau berkata, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Indonesia pula dianggarkan AS$23 bilion pada 2021 — peningkatan 45.5 peratus tahun ke tahun berbanding 2020.

“Bagi tempoh Januari-November 2022, perdagangan dua hala kedua-dua negara telah melebihi AS$27 bilion iaitu meningkat lebih 33 peratus berbanding tempoh sama pada 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tengku Zafrul berkata, sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia pada 8-9 Januari 2023, MITI dan agensi-agensi berkaitan telah menyatakan komitmen untuk terus mengembangkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan dengan Indonesia.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke negara jiran itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lepas.

Dari segi pelaburan, Tengku Zafrul berkata, MITI akan berusaha untuk meningkatkan lagi pelaburan rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia dengan kerjasama dalam bidang farmaseutikal, aeroangkasa, pemprosesan minyak sawit, barangan pengguna serta pertahanan dan keselamatan.

Beliau berkata, ini dipaparkan menerusi pertukaran sembilan memorandum persefahaman (MoU) membabitkan syarikat-syarikat Malaysia dan Indonesia dengan jumlah nilai pelaburan berpotensi melebihi RM1.6 bilion.

Pada masa sama, MITI turut menerajui perbincangan dua hala mengenai potensi pelaburan dan pelaburan bersama Malaysia di ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur, katanya.

“Sehubungan itu, Perdana Menteri pada hari ini turut menyaksikan penyerahan 11 surat niat oleh 10 syarikat Malaysia yang menzahirkan hasrat untuk menyumbang kepada pembangunan ibu kota baharu itu.

“Syarikat-syarikat ini telah membangunkan kepakaran serta kelayakan dalam bidang-bidang seperti elektrikal dan elektronik (E&E), automotif, pembuatan barangan industri, pengurusan sisa, teknologi bandaraya pintar, perumahan, penjagaan kesihatan, kejuruteraan M&E, utiliti dan tenaga lestari,” katanya.

Beliau berkata, usaha bagi manfaat bersama ini telah dibincangkan dalam pertemuan MITI dengan Menteri Syarikat-Syarikat Awam Indonesia dan Menteri Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan.

“Menteri-menteri lain yang bakal ditemui dalam beberapa hari akan datang ialah Menteri Perindustrian Indonesia, Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat serta Menteri Perdagangan,” katanya. – Bernama

Sumber