Dagangan Bursa Malaysia rendah sesi tengah hari, sentimen hati-hati

Dagangan Bursa Malaysia rendah sesi tengah hari, sentimen hati-hati

BURSA Malaysia mengakhiri sesi pagi rendah sedikit kerana sentimen pasaran yang berhati-hati terus mempengaruhi selera risiko.

Pada waktu rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.18 mata kepada 1,456.85 daripada 1,462.03 pada penutup Selasa.

Indeks utama memulakan dagangan pagi ini pada paras 1,460.36, turun 1.67 mata dan berlegar antara 1,453.37 dan 1,460.7 sepanjang sesi.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 448 berbalas 241, manakala kaunter 415 tidak berubah, 1,183 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.61 bilion unit bernilai RM791.86 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan, pelabur akan memantau rapat data kadar pengangguran Malaysia serta kadar inflasi Amerika Syarikat hari ini bagi mendapatkan petunjuk tambahan mengenai hala tuju kadar faedah Rizab Persekutuan AS.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM8.97, CelcomDigi kerugian lapan sen untuk mencatatkan harga RM4.36 manakala Public Bank, CIMB dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM4.17, RM5.65 dan RM6.85.

Tenaga menambah satu sen kepada RM9.56 dan IHH Healthcare pula menokok enam sen untuk mencatatkan harga RM6.00.

Bagi saham aktif, Classita tidak berubah pada 10 sen, KNM Group peroleh setengah sen kepada sembilan sen, Velesto susut satu sen menjadi 22 sen sementara Handal Energy lemah 2.5 sen kepada 24 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 35.11 mata kepada 10,684.59, Indeks FBMT 100 menyusut 34.14 mata menjadi 10,381.52 dan Indeks FBM Emas Syariah kehilangan 42.96 mata untuk mencatatkan paras 10,900.83.

Indeks FBM 70 turut kerugian 34.14 mata menjadi 13,964.11 manakala Indeks FBM ACE turun 18.87 mata kepada 5,296.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 58.16 mata kepada 16,299.03, Indeks Perladangan lebih rendah 87.77 mata kepada 7,082.07 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.28 mata menjadi 166.81.

Indeks Tenaga memperoleh 3.49 mata kepada 829.18. – Bernama

Sumber