Bursa Malaysia teruskan aliran meningkat awal dagangan

Bursa Malaysia teruskan aliran meningkat awal dagangan

BURSA Malaysia mengekalkan aliran peningkatannya pada awal dagangan Jumaat, sejajar dengan kenaikan berterusan Wall Street berikutan pendapatan korporat Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh, kata seorang penganalisis.

Pada 9.15 pagi ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI)naik 4.66 mata kepada 1,454.98 daripada 1,450.32 pada akhir Khamis.

Indeks petunjuk utama itu dibuka meningkat 0.77 mata kepada 1,451.09.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 172 berbanding 123 manakala 206 kaunter tidak berubah, 1,795 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 145.83 juta unit bernilai RM57.16 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota tinjauannya hari ini berkata kenaikan semalaman Wall Street itu turut memaparkan bahawa sokongan belian terhadap bursa tempatan kekal kukuh.

“Sektor teknologi dijangka meraih momentum susulan peningkatan semula Nasdaq.

“Malah, ramai pelabur berkemungkinan cenderung terhadap saham-saham automotif selepas Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meningkatkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV),” katanya.


Pada masa sama, Malacca Securities berkata, beberapa aktiviti pengambilan untung dijangka berlaku dalam sektor teknologi akibat penurunan harga minyak mentah.

Menurut firma pembrokeran itu, biarpun susut, minyak mentah itu masih didagangkan pada paras harga melebihi US$103 setong selepas Libya bertindak meningkatkan pengeluaran apabila sekatan berkaitan ditarik balik.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik lima sen kepada RM8.75, Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.47, IHH Healthcare dan CIMB Group masing-masing meraih dua sen kepada RM6.49 dan RM6.49 manakala Petronas Chemicals turun lapan sen kepada RM8.64.

Bagi saham aktif, Cypark Resources turun satu sen kepada RM34.5 dan Bintai Kinden Corporation susut setengah sen kepada 4.5 sen dan Sarawak Consolidated Industries dan ATA IMS naik satu sen masing-masing kepada 17 sen dan 31 sen manakala Widad Group menambah setengah sen kepada 38.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 28.01 mata kepada 10,329.92, Indeks FBM Emas Syariah menokok 12.1532 mata kepada 10,421.90, Indeks FBM 70 meningkat 54.75 mata pada 12,438.84, Indeks FBMT 100 menambah 27.31 mata kepada 10,086.41 dan FBM ACE meraih 13.01 mata kepada 4,756.10.

Bagi sektor, Indeks Perladangan susut 11.22 mata kepada 6,887.31, Indeks Tenaga turun 0.61 mata kepada 636.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.45 mata kepada 176.53 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 70.15 mata kepada 16,286.57. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber