Bursa Malaysia rekod aliran masuk asing bersih RM191.3 juta

Bursa Malaysia rekod aliran masuk asing bersih RM191.3 juta

BURSA Malaysia merekodkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM191.3 juta minggu lepas selepas menyaksikan aliran keluar asing bersih selama enam minggu berturut-turut, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Menerusi Laporan Aliran Dana mingguan hari ini, unitnya MIDF Research menyatakan pelabur asing adalah pembeli bersih setiap hari pada sesi urus niaga minggu lepas.

“Hari Isnin mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi sebanyak RM81.7 juta, diikuti Jumaat (RM72.8 juta) dan Khamis (RM21.6 juta),” katanya.

Institusi tempatan bagaimanapun terus menjadi penjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut, menjual ekuiti bernilai RM87.0 juta minggu lepas, kata firma penyelidikan itu.

Mereka memulakan minggu berkenaan dengan jualan bersih sebanyak RM60.2 juta pada hari Isnin dan RM19.3 juta pada hari Selasa.

“Institusi tempatan ini kemudiannya membeli (untuk seketika) sebanyak RM5.6 juta pada Rabu dan RM0.8 juta pada Khamis, sebelum beralih menjadi penjual bersih semula pada hari Jumaat dengan menjual sebanyak RM14.0 juta,” katanya.

Sementara itu, peruncit tempatan telah mengakhiri kegiatan pembelian bersih berterusan mereka minggu lalu selepas menjual bersih ekuiti berjumlah sehingga RM104.2 juta. Mereka dilihat menjual bersih setiap hari kecuali pada Selasa dengan bersih membeli ekuiti berjumlah sehingga RM4.2 juta.

“Urus niaga Jumaat turut menyaksikan aliran keluar bersih terbanyak daripada peruncit yang berjumlah sehingga RM58.8 juta,” kata MIDF Research.


Dari segi sektor, firma penyelidikan itu menyatakan bahawa tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih tertinggi daripada pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan, teknologi dan utiliti masing-masing pada RM141.9 juta, RM39.2 juta dan RM37.5 juta.

“Hanya dua sektor menyaksikan aliran keluar bersih asing — produk dan perkhidmatan perindustrian pada RM145.6 juta dan pengangkutan RM2.5 juta,” katanya.

Menurut MIDF Research, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 18 daripada 29 minggu tahun 2022 setakat ini, mencatatkan jumlah aliran masuk bersih RM6.11 bilion.

Manakala institusi tempatan pula adalah penjual bersih selama 22 daripada 29 minggu dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM7.89 bilion dan peruncit tempatan sebagai pembeli bersih selama 19 minggu, merekodkan aliran masuk bersih RM1.78 bilion.

Dari segi penyertaan, MIDF Research berkata terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan semua kelas pelabur.

Ia menambah pelabur runcit menyaksikan pertumbuhan dalam ADTV sebanyak 40.8 peratus, manakala pelabur institusi dan asing pula mencatatkan pertumbuhan masing-masing 47.0 peratus dan 42.4 peratus. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber