Bursa Malaysia ditutup rendah – Sinar Harian

Bursa Malaysia ditutup rendah – Sinar Harian

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meneruskan penurunannya bagi hari kedua berturut-turut diseret turun oleh jualan kebanyakannya dalam kaunter perbankan di tengah-tengah sentimen bercampur-campur di bursa serantau, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FBM KLCI turun 5.63 mata atau 0.38 peratus kepada 1,470.75 berbanding paras penutup 1,476.38 pada Selasa.

Indeks utama itu dibuka tidak berubah pada 1,476.39 dan bergerak antara paras 1,469.01 dan 1,479.95 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 566 berbanding 371, manakala 403 kaunter tidak berubah, 834 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.94 bilion unit bernilai RM2.51 bilion berbanding 5.24 bilion unit bernilai RM3.03 bilion pada Selasa.

Indeks perkhidmatan kewangan jatuh 1.12 peratus atau 180.77 mata kepada 15,954.56.

Penganalisis kanan Malacca Securities Sdn Bhd Kenneth Leong berkata penurunan saham wajaran tinggi perbankan berlaku apabila beberapa ahli ekonomi menyatakan bahawa langkah mengetatkan monetari oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan bakal berakhir.

Dilaporkan bahawa ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar sederhana 4.7 peratus tahun ini di tengah-tengah penurunan perlahan-lahan inflasi, kelonggaran dasar monetari dan harga komoditi rendah.

Ketua ahli ekonomi ANZ Bank bagi Asia Tenggara dan India, Sanjay Mathur menjangkakan inflasi, yang tidak pernah menjadi satu masalah serius di Malaysia, akan mereda sedikit dan gabungan pertumbuhan dan inflasi memberikan prospek yang baik bagi Malaysia pada masa ini.

“Pada masa depan kami menjangkakan aktiviti membeli saham pada harga rendah yang sederhana akan berlaku susulan penurunan dua hari berturut-turut ketika ini.

“Bagaimanapun, kenaikan mungkin terhad ke arah paras 1,490 hingga 1,500 di tengah-tengah kekurangan petunjuk baharu sehingga pembentangan semula Belanjawan 2023 pada 24 Feb ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau bercampur-campur meskipun petunjuk positif daripada Wall Street semalaman apabila bayangan kadar faedah tinggi oleh pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell telah mencetuskan kebimbangan ekonomi AS dan global akan terus turun.

Bagi bursa tempatan, beliau percaya jualan besar-besaran yang berlaku sekarang akan menyediakan peluang pembelian saham berharga rendah.

“Selepas mengambil kira faktor-faktor ini, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan tinggi dalam jajaran 1,470 hingga 1,490 bagi tempoh berbaki minggu ini.

“Dari segi teknikal, kami mengunjurkan paras ketahanan segera pada 1,500 manakala paras sokongan pada 1,470,” katanya.

Saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank naik satu sen kepada RM8.64, Petronas Chemicals meningkat 10 sen kepada RM8.25 dan TNB menokok 12 sen kepada RM9.51, manakala Public Bank susut empat sen kepada RM4.12 dan CIMB berkurangan 18 sen kepada RM5.40.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura Energy menambah setengah sen kepada lima sen, MY E.G. Sevices turun 1.5 sen kepada 71.5 sen, Velesto Energy jatuh satu sen kepada 23.5 sen dan ATA IMS berkurangan 9.5 sen kepada 35.5 sen, manakala Ta Win Holdings tidak berubah pada lapan sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 34.51 mata kepada 10,739.59, Indeks FBMT 100 susut 31.76 mata kepada 10,406.20, Indeks FBM ACE jatuh 46.77 mata kepada 5,789.84 dan Indeks FBM 70 berkurangan 7.32 mata kepada 13,689.13.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 1.19 mata kepada 11,098.69.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.25 mata kepada 189.98, Indeks Perladangan berkurangan 25.63 mata kepada 6,900.32 dan Indeks Tenaga jatuh 4.68 mata kepada 893.82.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.72 bilion saham bernilai RM2.09 bilion berbanding 3.77 bllion saham bernilai RM2.63 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran turun kepada 266.72 juta unit bernilai RM36.69 juta daripada 369.18 juta unit bernilai RM46.26 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 954.29 juta saham bernilai RM383.48 juta daripada 1.09 bilion saham bernilai RM348.63 juta.

Kaunter produk dan perkhimatan pengguna menyumbang 271.45 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (673.66 juta); pembinaan (94.09 juta); teknologi (505.42 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (104.53 juta); hartanah (134.57 juta); perladangan (30.48 juta); REITs (10.92 juta), dana tertutup (44,400); tenaga (743.27 juta); penjagaan kesihatan (64.38 juta); telekomunikasi dan media (23.28 juta); pengangkutan dan logistik (48.74 juta); dan utiliti (16.18 juta). – Bernama

Sumber