Bursa Malaysia dijangka teruskan momentum meningkat minggu depan

Bursa Malaysia dijangka teruskan momentum meningkat minggu depan

BURSA Malaysia dijangka meneruskan momentum positifnya minggu depan walaupun beberapa aktiviti pengambilan untung mungkin berlaku, kata peniaga.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, beliau optimis namun berhati-hati terhadap sentimen pasaran tempatan yang semakin baik.

“Oleh itu, kami meramalkan FBM KLCI akan berada dalam jajaran 1,455-1,475 minggu ini dengan paras rintangan segera pada 1,490 dan paras sokongan pada 1,440,” katanya kepada Bernama.

Menurut MIDF Research, keputusan kenaikan kadar oleh bank pusat seperti Reserve Bank of Australia pada 5 September, Bank Negara Malaysia pada 7 September dan European Central Bank pada 14 September — dijangka antara aspek yang diberikan tumpuan oleh peniaga pada minggu depan.

Bagi minggu yang baru berakhir, FBM KLCI diniagakan kebanyakannya tinggi, seiring dengan prestasi bursa serantau yang memberangsangkan berikutan sentimen pasaran kembali positif dan merangsang minat risiko pelabur.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, FBM KLCI meraih 19.02 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,463.43 berbanding 1,444.41 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 154.37 mata kepada 10,816.64, Indeks FBMT 100 meningkat 140.01 mata kepada 10,483.28, Indeks FBM Emas Syariah menokok 108.91 mata kepada 10,997.88, Indeks FBM ACE merosot 46.81 mata kepada 5,228.09 dan Indeks FBM 70 naik 207.66 mata kepada 14,333.97.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 3.51 mata kepada 172.54, Indeks Tenaga menokok 31.99 mata kepada 856.14, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 280.92 mata kepada 16,471.61 dan Indeks Perladangan menyusut 21.13 mata kepada 6,937.70.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 18.03 bilion unit bernilai RM13.53 bilion daripada 17.10 bilion unit bernilai RM10.71 bilion unit pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 19.95 bilion saham bernilai RM12.47 bilion berbanding 11.77 bilion saham bernilai RM9.39 bilion pada minggu terdahulu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.48 bilion unit bernilai RM222.87 juta daripada 2.01 bilion unit bernilai RM284.19 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 2.57 bilion saham bernilai RM821.64 juta daripada 3.28 bilion saham bernilai RM1.03 bilion sebelum ini. – Bernama

Sumber