‘Buat bisnes perlu ikhlas, beri khidmat terbaik’ – Che Ta

‘Buat bisnes perlu ikhlas, beri khidmat terbaik’ – Che Ta

24 Februari 2023 07:35amMasa membaca: 4 minit

Rozita (kanan) ketika menerima anugerah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin. - Foto Sinar Harian

Rozita (kanan) ketika menerima anugerah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin. – Foto Sinar Harian

SHAH ALAM – Usahawan perlu melakukan perniagaan dengan ikhlas dan memberikan khidmat terbaik supaya pelanggan mendapat kepuasan serta manfaat yang sebaiknya.

Berikut merupakan rahsia kejayaan yang dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif byRCW, Rozita Che Wan yang lebih dikenali Che Ta dalam mengembangkan perniagaannya.

Tambah penerima Anugerah Usahawan Selebriti 2023 itu, dengan kewujudan Bisnes Sinar Harian Awards (BISA), ia menjadi pemangkin kepada usahawan lain untuk bersaing secara sihat.

“Saya bersyukur dan teruja serta berterima kasih kepada Sinar Harian kerana sudi menganugerahkan saya bagi kategori ini.

“Saya rasa, lagi banyak anugerah sebegini, lagi bagus industri kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan BISA di sini pada Khamis.

BISA merupakan satu pengiktirafan yang diberikan kepada golongan usahawan dan syarikat yang telah berjaya memberikan impak besar kepada pemerkasaan dan kemampanan ekonomi negara.

Penganugerahan itu merangkumi pelbagai sektor perniagaan seperti perkhidmatan, peruncitan, kepenggunaan, pendidikan, teknologi, kreativiti, inovasi produk dan banyak lagi.

Lebih 30 pemenang BISA yang terdiri daripada usahawan tempatan diumumkan pada malam gala penganugerahan di DoubleTree by Hilton Shah Alam i-City pada Khamis.

Tambah Che Ta, meskipun seseorang tersebut hanya mempunyai perniagaan yang kecil, namun mereka perlu menonjolkan diri untuk diketahui umum.

“Bukan syarikat besar sahaja mendominasi negara kita yang boleh buat duit. Tapi, syarikat yang belum besar pun boleh membuka mata orang ramai.

“Boleh sahaja nak mula berniaga secara kecil-kecilan. Macam saya bermula pada 2017. Tiada asas, tetapi sebab kita semangat, Alhamdulillah sampai setakat ini,” katanya.

Sumber