BNM, Bank Indonesia perbaharui LCBSA sehingga RM8 bilion

BNM, Bank Indonesia perbaharui LCBSA sehingga RM8 bilion

BNM dan Bank Indonesia telah memperbaharui LCBSA dengan jumlah pengaturan swap hingga RM8 bilion pada 23 September 2022.

BNM dan Bank Indonesia telah memperbaharui LCBSA dengan jumlah pengaturan swap hingga RM8 bilion pada 23 September 2022.

BANK Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia telah memperbaharui Perjanjian Swap Mata Wang Tempatan Dua Hala (LCBSA) dengan jumlah pengaturan swap hingga RM8 bilion/28 trilion rupiah pada 23 September 2022 bagi mengukuhkan kerjasama yang sedia terjalin antara kedua-dua bank pusat itu.

Perjanjian yang diperbaharui ini akan berkuat kuasa untuk tempoh tiga tahun susulan daripada perjanjian pertama yang ditandatangani pada 2019.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pihaknya berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan Bank Indonesia dengan memperbaharui LCBSA memandangkan aliran perdagangan yang tinggi antara Malaysia dan Indonesia.

“LCBSA ini juga menyumbang kepada Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) antara kedua-dua negara iaitu pengaturan yang menggalakkan penggunaan mata wang tempatan secara lebih meluas bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam kenyataan yang sama, Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo percaya pembaharuan pengaturan swap mata wang itu mencerminkan kerjasama kewangan yang terus kukuh antara Bank Indonesia dengan Bank Negara Malaysia.

“Pembaharuan swap ini juga menunjukkan komitmen kami untuk memperkukuh kestabilan pasaran kewangan melalui usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan bagi transaksi dua hala antara Indonesia dengan Malaysia,” tambah beliau. – Bernama

Sumber