Beri makan kepada haiwan tidak bertuan

APABILA kita makan di premis terbuka, tidak sah kalau kita tidak ‘bertemu’ dengan kucing yang tidak bertuan berkeliaran.

Adakalanya haiwan comel berkenaan akan mendekati kita untuk meminta sedikit makanan.

Ya, nasib kucing tidak bertuan mungkin tidak seperti haiwan yang dipelihara, terjaga dari segi makan dan minumnya.

Ada antara kita yang sudi berkongsi sedikit rezeki untuk diberikan kepada kucing yang tidak bertuan itu.

Namun, ada juga yang enggan berbuat demikian kerana ia seolah-olah menggalakkan kucing datang ke kawasan berkenaan.

Bagaimana pandangan Islam tentang perkara itu?

Sebenarnya, para ulama dan sarjana fiqh telah menyebut tentang kewajipan memberi nafkah kepada haiwan yang dipelihara.

Isu itu telah dibincangkan dalam bab nafkah isteri, ibu bapa dan anak-anak.

Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang perempuan telah diseksa kerana kucing yang dikurungnya sehingga mati, maka dia dimasukkan ke dalam neraka. Dia tidak memberi kucing itu makan dan minum ketika mengurungnya dan dia tidak pula melepaskannya mencari makanannya sendiri daripada haiwan haiwan kecil.” (Riwayat Muslim)

Pun begitu, kita perlu ingat bahawa Islam turut menganjurkan supaya umatnya menjalankan tanggungjawab sosial terhadap haiwan-haiwan terbiar termasuk kucing.

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ketika seorang lelaki sedang berjalan, dia berasa sangat dahaga, lalu terjumpa sebuah perigi. Dia pun turun ke dalamnya lalu meminum (air telaga tersebut). Ketika dia keluar dari perigi tersebut, dia ternampak seekor anjing yang menjelirkan lidahnya, memakan tanah kerana kehausan.

Lelaki itu berkata: “Anjing ini tentu sangat dahaga sebagaimana dahaga yang menimpaku sebentar tadi.”

Lalu dia pun turun semula ke dalam perigi dan memenuhkan kasutnya dengan air, kemudian dia memegang kasutnya dengan mulutnya hingga dia berjaya memanjat sampai ke atas semula, lalu dia memberi anjing itu minum.

Anjing itu bersyukur kepada ALLAH atas bantuan lelaki itu, lalu ALLAH mengampunkannya.

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah bagi kami ganjaran pada haiwan seperti ini?”

Baginda bersabda: “Pada setiap hati yang basah itu ada ganjaran (bagi yang berbuat baik kepadanya).” (Riwayat Muslim)

Menurut Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim: “Akan terhasil pahala yang besar daripada perbuatan memberi minum haiwan.

“Pahala ini juga akan terhasil dengan perbuatan yang seumpamanya, seperti memberi makan dan lain-lain perbuatan yang bersifat ihsan terhadap haiwan, tidak kira sama ada haiwan itu dipelihara ataupun tidak.”

Jelas bahawa perbuatan memberi makanan kepada haiwan yang tidak bertuan merupakan amalan terpuji.

ALLAH SWT menjanjikan balasan yang baik untuk hamba-Nya yang bersifat ihsan kepada haiwan.

Mungkin selepas ini, kita boleh sediakan makanan kucing di dalam kereta atau beg.

Apabila ‘bertembung’ dengan haiwan yang tidak bertuan itu, bolehlah diberikan makanan berkenaan.

Semoga usaha kita itu akan menambah saham pahala di akhirat kelak.

(Sumber: Portal Soal Jawab Agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *