Belanjawan 2024: Dibina berdasarkan asas disiplin fiskal

Belanjawan 2024: Dibina berdasarkan asas disiplin fiskal

Belanjawan 2024 dijangka dibina berdasarkan asas disiplin fiskal yang ditetapkan oleh Belanjawan Madani Malaysia 2023, dengan matlamat untuk menyediakan pelan hala tuju yang lebih jelas bagi pembaharuan fiskal dan landskap kewangan negara. - Gambar hiasan

Belanjawan 2024 dijangka dibina berdasarkan asas disiplin fiskal yang ditetapkan oleh Belanjawan Madani Malaysia 2023, dengan matlamat untuk menyediakan pelan hala tuju yang lebih jelas bagi pembaharuan fiskal dan landskap kewangan negara. – Gambar hiasan

BELANJAWAN 2024 dijangka dibina berdasarkan asas disiplin fiskal yang ditetapkan oleh Belanjawan Madani Malaysia 2023, dengan matlamat untuk menyediakan pelan hala tuju yang lebih jelas bagi pembaharuan fiskal dan landskap kewangan negara, kata Public Investment Bank Bhd.

Menurut bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikannya, ia yakin belanjawan itu akan memberi keutamaan kepada pengukuhan kelas pertengahan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meringankan beban susulan kenaikan kos sara hidup.

Ia berkata, Belanjawan 2024 akan sejajar dengan dasar jangka sederhana hingga panjang seperti Ekonomi Madani, kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional ( NETR).

“Unjuran kami membayangkan defisit belanjawan untuk tahun mendatang ialah kira-kira 4.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), sejajar dengan laluan yang menuju ke sasaran 2025 sebanyak 3-3.5 peratus daripada KDNK seperti yang dinyatakan dalam RMK12.

“Selain itu, inisiatif Ekonomi Madani telah menetapkan matlamat untuk mengekalkan defisit belanjawan di bawah 3.0 peratus daripada KDNK dalam jangka panjang,” katanya.

Dalam pembentangan semula Belanjawan 2023, kerajaan menyelaraskan semula sasaran defisit fiskalnya, mengurangkannya daripada 5.5 peratus kepada 5.0 peratus.

Defisit belanjawan rasmi kerajaan pada separuh pertama 2023 adalah sebanyak RM39.4 bilion atau 42 peratus daripada unjuran defisit belanjawan rasmi setahun penuh sebanyak RM93.9 bilion, seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula pada 24 Feb 2023.

Defisit belanjawan separuh pertama 2023 ialah pada 4.5 peratus daripada KDNK berbanding sasaran tahun penuh sebanyak 5.0 peratus.

Firma penyelidikan itu turut menjangka kerajaan memperuntukkan RM90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM300 bilion untuk perbelanjaan mengurus di tengah-tengah pelaksanaan subsidi bersasar yang lebih meluas, terutamanya untuk tarif elektrik dan subsidi petrol.

Tambahnya, kerajaan juga mungkin memperkenalkan pemindahan tunai atau meningkatkan bantuan kewangan untuk mengurangkan kesan kewangan bagi kumpulan yang terjejas akibat pengurangan subsidi.

Selain itu, ia menjangkakan Belanjawan 2024 akan memberikan impak positif pada sektor pembinaan dengan penerusan projek infrastruktur utama dan permulaan projek baharu. – Bernama

Sumber