Bank Rakyat perluas kemudahan beli, pasang panel solar

Bank Rakyat perluas kemudahan beli, pasang panel solar

Bank Rakyat ingin menggalakkan penggunaan tenaga hijau dalam kalangan masyarakat.

Bank Rakyat ingin menggalakkan penggunaan tenaga hijau dalam kalangan masyarakat.

SHAH ALAM – Bank Rakyat dengan kerjasama pembekal panel solar memperluaskan tawaran kemudahan produk Pembiayaan Peribadi-i untuk pembelian dan pemasangan sistem panel solar.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, pelanggan juga boleh melakukan pembelian panel solar melalui Kad Kredit-i Bank Rakyat.

“Inisiatif ini merupakan salah satu usaha bank untuk membantu memacu peralihan negara kepada ekonomi tenaga bersih, seiring dengan aspirasi Rangka Tindakan Kelestarian yang dirangka menerusi pelan strategik Bank Rakyat 2025,” katanya semasa Majlis Pelancaran Inisiatif Kelestarian Bank Rakyat pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Datuk Hamzah Hussin dan Ketua Pegawai Strategi SEDA Malaysia, Mohammad Nazri Mizayauddin.

Tambah Mohammad Hanis, menerusi inisiatif ini, Bank Rakyat bekerjasama dengan lima syarikat pembekal antaranya Voltago Solar Sdn Bhd, Green Energy Generation Sdn Bhd, UZMA Enviroenergy Sdn Bhd, Suria Infiniti Sdn Bhd dan Voltek Energy Sdn Bhd bagi memudahkan proses pembelian serta pemasangan sistem solar di kediaman pelanggan.

“Teknologi dan sumber tenaga merupakan antara elemen yang saling berkait rapat dalam merealisasikan agenda pemeliharaan dan pemuliharaan kelestarian alam sekitar.

“Justeru, usaha untuk mewujudkan kemudahan kewangan patuh syariah merupakan inisiatif yang tepat untuk menggalakkan penggunaan tenaga hijau dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Ujarnya, Bank Rakyat turut menawarkan Pembiayaan Kenderaan-i bagi pembelian kenderaan elektrik hibrid, kenderaan elektrik hibrid plug-in, kenderaan elektrik berasaskan bateri termasuk kenderaan elektrik sel bahan api.

Beliau berkata, Bank Rakyat juga menyediakan Pembiayaan Perumahan-i bagi pembelian hartanah atau kediaman mendapat pengiktirafan status bangunan hijau dari Green Building Index (GBI) atau GreenRe yang merupakan salah satu agensi akreditasi hijau utama di Malaysia.

Sementara itu katanya, dalam tempoh lima tahun akan datang, Bank Rakyat akan terus menumpukan lebih perhatian kepada penerapan elemen teras kemampanan dari segi ekonomi, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi perniagaan.

“Serta menggerakkan amalan perniagaan ke arah yang bukan sahaja memacu keuntungan tetapi juga meningkatkan status komuniti dan memelihara alam sekitar” jelasnya.

Sumber