115 syarikat pelbagai negara sertai Pameran Hadiah Malaysia 2022

Inspirasi Destinasi Menarik Percutian Impian > AKTIVITI > 115 syarikat pelbagai negara sertai Pameran Hadiah Malaysia 2022

115 syarikat pelbagai negara sertai Pameran Hadiah Malaysia 2022

KUALA LUMPUR – Sebanyak 115 syarikat dari pelbagai negara akan menyertai pameran hadiah dan cenderamata yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 22 hingga 24 Jun ini.

Pameran Hadiah Malaysia ke-12 anjuran Persatuan Hadiah dan Cenderamata Malaysia (MGPA) itu menampilkan pelbagai jenis produk baharu antaranya produk rekaan khas, pakaian, peralatan, tekstil, trofi dan sebagainya.

Pengerusi penganjur Pameran Hadiah Malaysia, Ivan Loo berkata, penganjuran kali ke-12 itu turut menampilkan konsep gerai ‘kickstarter’ bagi memudahkan pengunjung di samping mengukuhkan ekosistem pameran berkenaan.

Ivan Loo ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Hadiah Malaysia 2022 di KLCC pada Rabu.

Ivan Loo ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Hadiah Malaysia 2022 di KLCC pada Rabu.

“Pameran yang turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) ini melibatkan pempamer dari Malaysia, Singapura, Hong Kong, Taiwan, Korea dan Bangladesh.

“Syarikat-syarikat yang terlibat pada penganjuran kali ini dilihat mampu membantu meningkatkan kepentingan industri kreatif kepada ekonomi Malaysia selain komitmen yang berterusan MGPA membolehkan pengusaha kecil dan sederhana untuk mengeksport jenama mereka ke luar negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Hadiah Malaysia 2022 di KLCC pada Rabu.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz dan turut dihadiri Presiden MGPA, Peh Leong Seng.

Sementara itu dalam majlis berkenaan, MGPA turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia sebagai sokongan untuk melahirkan pereka bentuk industri yang diiktiraf sebagai profesion dalam pembangunan negara.

“Pameran Hadiah Malaysia edisi 2019 lalu telah berjaya menarik lebih daripada 14,000 pengunjung dari 17 negara dengan lebih 50 peratus pertukaran perniagaan telah berjaya. Selain itu, banyak peluang pekerjaan dicipta, inovasi kreatif diperkenalkan dan diperluaskan ke rantau ASEAN.

“Sepanjang 11 tahun lalu, MGPA telah membina dan membangunkan komuniti usahawan yang kukuh menerusi kerja, inisiatif, Anugerah Reka Bentuk Produk Promosi (PPD) dan Pameran Hadiah Malaysia,” katanya.

Sementara itu Leong Seng dalam ucapannya memaklumkan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menyertai MGPA dalam memperkasakan rekabentuk perindustrian menerusi Anugerah PPD yang akan ditandatangani dalam waktu terdekat.

Menurut Leong Seng, PPD bertujuan untuk inovasi dalam penghasilan lebih banyak hadiah Malaysia selain menjadi platform mewujudkan lebih ramai bakat kreatif di negara ini.

“MGPA akan jalinkan kerjasama strategik dengan organisasi kerajaan dan swasta untuk membina platform kukuh sekali gus menandakan inisiatif berterusan dalam mencipta lebih banyak hasil seni serta budaya tempatan dalam pemeliharaan tradisi dan warisannya,” katanya.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber