UiTM, McDonald’s meterai MoU tingkat kebolehpasaran graduan

UiTM, McDonald’s meterai MoU tingkat kebolehpasaran graduan

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) dan McDonald’s Malaysia pada Jumaat memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui Program Perantis McDonald’s.

Menerusi program perantis itu kerjasama dijalankan merangkumi tiga inisiatif iaitu Management Apprentice Programme (MAP), Graduate Employability Programme dan Internship Programme (IP) bermatlamat menyediakan peluang kerjaya untuk pelajar daripada pelbagai latar belakang termasuk B40 dan keperluan khas.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, UiTM sebagai institusi pengajian terbesar di Malaysia sentiasa bekerjasama dan mengambil pendekatan proaktif dengan pihak industri dalam memaksimumkan inisiatif kebolehpasaran graduan.

“Program Perantis McDonald’s dan UiTM amat selari dengan agenda terkini UiTM bagi memperkukuhkan inisiatif kebolehpasaran graduan agar senada dengan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2015 Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Visinya adalah ke arah melahirkan graduan holistik dan seimbang dengan nilai kebolehpasaran global,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program perantis tersebut yang disempurnakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad di Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam.

Ahmad Masrizal turut menyaksikan pemeteraian kerjasama itu antara UiTM yang diwakili Roziah dan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Profesor Dr Mohamad Hariri Abdullah manakala McDonald’s Malaysia diwakili Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, Datuk Azmir Jaafar dan Pengarah Kanan Undang-Undang dan Francais, Hilmy Sulaiman.

Sementara itu, Azmir berkata, untuk menggalakkan kebolehpasaran belia dan graduan, McDonald’s turut menawarkan beberapa program pekerjaan seperti Program Perantisan Vokasional McDonald’s di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), selain MAP, GEP dan IP.

Kata beliau, sehingga 2021, McDonald’s Malaysia telah melatih lebih 900 graduan kolej dan universiti di bawah program MAP, GEP dan IP yang kini sedang bekerja dalam industri hospitaliti.

“Ini adalah MoU terbesar yang kita tandatangani memandangkan UiTM mempunyai seramai 180,000 pelajar di 34 kampusnya seluruh negara manakala McDonald’s memiliki 330 restorannya seluruh Malaysia.

“Kami menyasarkan untuk menyediakan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan baharu menjelang tahun 2026 seiring dengan sasaran untuk membuka sebanyak 250 restoran baharu dalam masa tiga tahun akan datang dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.5 bilion. Dengan ini, ia beri peluang yang besar kepada pelajar untuk membina kerjaya,” ujarnya.

Jelasnya, untuk tahun ini sahaja McDonald’s Malaysia berhasrat melaburkan sebanyak RM300 juta untuk program-program latihan dan pembangunan.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber