Transisi Nur Amira Lee

Transisi Nur Amira Lee

MASIH segar dalam memori Nur Amira Ann Lee atau mesra disapa Amira terhadap liku-liku perjalanannya bergelar seorang Muslim. Dengan raut wajah penuh keikhlasan, anak kelahiran Sikamat, Negeri Sembilan itu berkata, beliau secara peribadi menyifatkan tarikh 18 November 2009 merupakan detik terindah.

Tepat pada pukul 11 pagi, Amira telah memandu bersendirian dari kediamannya menuju ke Pusat Dakwah Islam Paroi, Negeri Sembilan dalam keadaan tergesa-gesa untuk melafazkan dua kalimah syahadah.

“Walaupun jarak dari rumah ke Pusat Dakwah Islam Paroi berdekatan, tetapi saya terasa lama berada di dalam kereta. Sepanjang perjalanan, saya berdoa supaya tidak berlaku kemalangan yang boleh meragut nyawa.

“Saya bimbang sebarang bentuk kecelakaan yang berlaku akan menyebabkan saya tidak sempat mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi umat Islam,” jelas beliau ketika ditemui Femina secara eksklusif di Studio Karangkraf, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Wanita berusia 32 itu menyambung sinopsis bicaranya dengan pernyataan penuh bermakna.

“Memang terasa indah, perasaan gundah sebelum itu lenyap sekelip mata sebaik sahaja selesai melafazkan syahadah di hadapan seorang ustazah. Lega, ia umpama bebanan batu besar yang selama ini menghempap dada telah berjaya dialihkan. Saya berasa ‘ringan’ dan bersih seperti bayi.

“Pada waktu tersebut saya tidak takut sekiranya Allah tarik nyawa kerana sekurang-kurangnya saya meninggal dunia dalam keadaan Islam,” tuturnya yang terbuka hati mengenali Islam selepas berkongsi kisah duka bersama arwah suaminya, Mohamad Norasyrul Nordin.

Bagaimanapun, bekas pramugari syarikat penerbangan, Malaysia Airlines Bhd itu menjelaskan, keterujaan beliau bergelar Muslim dirobek seketika apabila arwah suaminya pergi mengadap ILLAHI.


Kepada wartawan Femina, IZYAN LIYANA MOHD DARIF, Amira berkongsi lanjut cerita kemanisan penghijrahannya bergelar saudara baharu.

1 Pada 18 November tahun ini, genap sedekad anda bergelar seorang Muslim. Justeru, boleh kongsikan titik permulaan bagaimana terdetiknya hati untuk memeluk agama Islam?

AMIRA: Titik perubahan bermula selepas abang saya maut kerana nahas jalan raya sekitar Januari tahun 2009. Sejak peristiwa hitam itu, saya menjalani kehidupan dalam keadaan sedih, terkilan dan hampir berputus asa selama enam bulan, walhal sebelum ini saya seorang ceria dan positif.

Sukar untuk menerima kenyataan abang tersayang pergi buat selama-lamanya. Arwah yang dulunya merupakan rakan sekerja di MAS tidak pernah bosan meniupkan kata-kata semangat. Beliau banyak memberikan galakan, nasihat dan berkongsi ayat al-Quran yang menceritakan bahawa segala berlaku di muka bumi telah ditakdirkan ALLAH. Semuanya ada hikmah tersendiri kerana perancangan-NYA lebih berkuasa daripada manusia.

Bait-bait penjelasan tersebut menimbulkan banyak persoalan. Kemusykilan utama saya pada waktu itu ialah siapakah ALLAH? Kenapa DIA begitu berkuasa sehingga mampu menghadirkan ujian dan pada masa sama menyembuhkan keperitan yang dialami manusia?

2 Justeru, bagaimana anda memperoleh jawapan yang membantu menyelesaikan 1,001 persoalan mengenai ALLAH, al-Quran dan Islam?

Selepas enam bulan meratapi kesedihan yang tiada berpenghujung, saya bangkit dan tekad mencari jawapan tersebut. Selain berdiskusi bersama golongan yang memiliki kepakaran dalam bidang agama Islam, saya turut mencari jawapan menerusi bahan bacaan.

Pencarian saya semakin hampir ke garisan penamat apabila terdetik untuk berkunjung ke Pusat Dakwah Islam Paroi. Cuti tahunan yang berbaki tiga hari saya manfaatkan dengan menghadiri kursus asas saudara baharu meskipun belum memeluk Islam.

Di dalam kelas, ustaz dan ustazah membantu menjawab soalan popular. Antaranya kenapa umat Islam diwajibkan solat? Kenapa berpuasa selama sebulan? Kenapa wanita harus menutup aurat? Mengapa agama ini melarang umatnya makan khinzir?

Terharunya, setiap soalan kami tidak diperlekehkan ataupun ditempelak, sebaliknya mereka menjawab secara berhemah dan disertai alasan serta bukti yang kukuh.

Bagaimanapun, saya mula merasai kenikmatan hidayah itu tiba dan kewujudan ALLAH apabila seorang ustazah yang mengendalikan kelas terbabit menebak kami dengan satu soalan istimewa.

Ujar beliau, manusia sangat bijak dan memiliki kemampuan mencipta bangunan tertinggi, roket dan sebagainya, tetapi pernahkah manusia terfikir siapa pula yang mencipta manusia dan alam semesta?

Keyakinan saya terhadap kekuasaan ALLAH semakin menebal, apatah lagi selepas membaca inti pati al-Quran yang menceritakan penciptaan manusia secara saintifik.

Justeru, selesai sahaja kursus, saya mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam pada keesokan harinya.

3 Adakah keputusan untuk memeluk Islam turut didorong kerana ingin berumah tangga bersama arwah suami (Mohamad Norasyrul)?

Tidak dinafikan, sebahagian besar individu berpendapat apabila seseorang itu memeluk Islam adalah untuk berkahwin atau mendapatkan bantuan seperti kewangan.

Persepsi sedemikian harus ditepis kerana kami berhijrah demi memperoleh keredaan ALLAH. Biarpun pada masa itu saya tidak pasti jodoh bersama arwah suami akan berkekalan atau sebaliknya, namun keazaman saya ialah apa jua cabaran dan dugaan yang datang, saya ingin kekal dan meninggal dunia sebagai seorang Muslim.

Alhamdullilah, selepas memeluk Islam (sebelum tahun 2009 melabuhkan tirai), pada tahun seterusnya saya dan arwah suami selamat diijabkabulkan. Mahligai yang dibina diserikan dengan kehadiran cahaya mata, Sara Shasmeen, 7.

Bagaimanapun, kegembiraan yang dikecapi bersifat sementara apabila arwah suami disahkan menghidap leukimia dan menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2013. Meskipun perit mengenangkan anak yang masih kecil ketika itu, tetapi saya reda kerana semuanya sudah diaturkan ALLAH. Saya bersyukur dan lega kerana berpeluang menjaga beliau sepanjang dirawat di hospital sehingga sanggup meninggalkan kerjaya pramugari.

4 Bagaimana anda kekal istiqamah dan berjuang seorang diri dalam mencari sinar Islam selepas arwah suami meninggal dunia?

Seperti yang saya sebutkan, Penghijrahan ini dibuat atas kerelaan dalam mencari keredaan ALLAH. Walaupun kehilangan individu yang membuka mata hati mengenali Islam, tetapi jiwa dan raga saya tidak pernah lenyap untuk terus mengikat cinta pada agama ini.

Diakui bukan mudah untuk kekal istiqamah, namun saya sentiasa berdoa pada ALLAH supaya kuatkan hati ini supaya terus taat dan tawaduk kepada-NYA. Kunci utamanya, solat, mengaji, usaha dan tawakal.

Lagipun mak dan adik-beradik tidak pernah memaksa kembali menganuti agama asal (Buddha) kerana mereka melihat saya menjadi individu yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Kini perjuangan saya mendalami Islam tidak keseorangan apabila izin-NYA saya bertemu jodoh baharu, Mohd Fakhrurrazi pada bulan Mei lalu.

5 Ibu, Chong Moi berusia 66 tahun menitiskan air mata tatkala anda menyuarakan hasrat untuk bergelar Muslim. Adakah pada ketika itu anda berdepan dilema antara keluarga atau nekad memilih cahaya Islam?

Saya ialah anak mak dan tidak pernah melawan kata-katanya kerana enggan menyebabkan beliau sedih. Namun, saya tidak menyangka keputusan untuk memeluk Islam telah membuatkan mak menangis seolah-olah saya akan pergi meninggalkannya.

Sedih memang sedih melihat situasi mak pada waktu itu, tetapi dek ketakutan melampau kerana bimbang nyawa diambil sebelum sempat melafazkan syahadah, saya tabahkan hati. Saya yakin masa akan meredakan keadaan dan berjanji dengan diri sendiri supaya tidak sesekali mengabaikan mak biarpun saya bergelar mualaf kelak.

Betapa percaturan Allah itu indah. Perbezaan agama sedikitpun tidak memecah-belahkan hubungan kami sekeluarga, bahkan sehingga hari ini saya kekal menetap serumah bersama mak dan adik-beradik di Seremban, Negeri Sembilan.

Diakui, pada peringkat awal mak terpaksa membeli peralatan dapur yang baharu untuk memasak lauk saya secara berasingan. Ia termasuklah membeli bahan mentah halal khusus ayam yang telah disembelih. Bagaimanapun, kini tidak lagi selepas berpindah ke kediaman baharu apabila saya meminta kerjasama mak dan adik-beradik supaya menikmati dan menyediakan sajian halal sahaja.

6 Selepas bergelar saudara baharu, apakah perkara yang paling sukar untuk dipelajari dan dipraktikkan?

Setakat ini, saya telah menghafal surah-surah lazim khususnya al-Fatihah dan bacaan solat bagi memudahkan ibadat disempurnakan dengan baik.

Pada peringkat permulaan, mengaji satu proses yang sedikit susah kerana ia memerlukan saya menghafal dan mengenal huruf satu-persatu. Alhamdullilah, kini saya telah beralih pada iqra’ enam dan bacaan semakin lancar.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *