TNB rangkul anugerah emas AIG Kebangsaan 2022

TNB rangkul anugerah emas AIG Kebangsaan 2022

TENAGA Nasional Berhad (TNB) muncul antara lima pemenang Emas Tertinggi bagi Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) Kebangsaan 2022 baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Baharin Din berkata, anugerah itu sekali gus memahatkan mercu tanda pencapaian TNB dalam komitmennya terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), khususnya tata kelola dan sahsiah diri warga kerja melalui pelaburan meningkatkan integriti organisasi.

“Anugerah ini adalah penghargaan bernilai kepada pematuhan warga kerja TNB terhadap pelbagai inisiatif bagi memperteguh organisasi termasuk menjadikan integriti sebagai antara enam nilai teras budaya kerja.

“TNB secara berterusan mengambil pelbagai inisiatif untuk meneguhkan integriti termasuklah melaksanakan pelbagai program seperti bengkel dan latihan, penambahbaikan sistem kerja dan pentadbiran, tindakan penguatkuasaan serta membangunkan budaya kerja terpuji,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Baharin menerima anugerah anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) itu daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, di Auditorium IIM.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Menurut Baharin, AIGA Kebangsaan julung kali diadakan dengan menerima 116 penyertaan sektor awam dan swasta sebagai satu mekanisme mengukur komitmen, usaha serta keberkesanan inisiatif integriti dan tata kelola organisasi.

“Antara inisiatif integriti TNB ialah memperolehi pensijilan ISO 37001 ‘Anti Bribery Management System’ daripada SIRIM QAS International, membangunkan Integrity Health Index (IHI) bagi mengukur tahap integriti secara objektif dan melatih pegawai di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjadi pegawai integriti bertauliah (CeIO).

“TNB juga meningkatkan kerjasama dengan SPRM dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membolehkan kedua-dua organisasi mengadakan pelbagai aktiviti bersama bagi tempoh lima tahun.

“MoU yang ditandatangani tahun lalu itu mengukuhkan lagi kerjasama sedia terjalin antara TNB dan SPRM, dengan merangkumi perkongsian maklumat dan kepakaran, menambah baik sistem dan prosedur TNB, pelaksanaan operasi pengesanan bersama serta program kesedaran dan latihan,” jelasnya.

Tambah Baharin, usaha mengukuhkan integriti itu memperkasakan warga kerja dengan menyerlahkan potensi dan memupuk nilai serta budaya mereka dalam mendukung tadbir urus yang mengamalkan perniagaan beretika dan berbudaya dengan semangat penuh bertanggungjawab.

“Ia berpaksikan akauntabiliti, ketelusan dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, sekali gus menyokong agenda ke-16 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

“Iaitu menyasarkan memperbaiki kehidupan rakyat melalui peningkatan akses kepada keadilan dan menggalakkan institusi yang berkesan, bertanggungjawab dan inklusif,” katanya.

Sumber