Solat wanita selepas kering darah haid

Solat wanita selepas kering darah haid

SETIAP kali selepas mandi wajib apabila darah haid telah kering, Salmah Harun, 25, akan menunaikan solat fardu waktu berkenaan berserta dengan satu lagi solat fardu bagi waktu sebelumnya.

Ini kerana, ada pandangan ulama mengatakan, contohnya jika mandi wajib selepas Asar, maka wanita perlu solat Asar dan tambah satu lagi solat sebelumnya iaitu Zuhur kerana dikhuatiri darah itu sudah kering sebelumnya lagi.

Namun, perbuatan Salmah itu ditegur seorang rakannya, Nurul Ain Mohamad kerana beliau berpandangan Salmah tidak sepatutnya berbuat demikian.

Salmah jadi keliru tentang solat bagi wanita selepas kering darah haid.

Adakah cara yang dilakukannya selama ini betul?

Menjawab persoalan itu, asal dalam menentukan sesuatu hukum ialah yakin ataupun sangkaan yang kuat.

Apabila seorang wanita haid dan berlalu tempoh biasa haid serta telah kering, maka wajib baginya mandi seperti hadis sahih riwayat Aisyah RA ketika ada wanita bertanya tentang perkara itu.

Memang tidak dinafikan ada pandangan ulama seperti di atas.

Namun, yang kuat dan menjadi pegangan ialah keyakinan yang pasti serta sangkaan yang kuat telah keringnya haid itu, lalu dia mandi tanpa menggantikan solat sebelumnya.

Adapun, jika belum kering berdasarkan keyakinan dan sangkaan yang kuat, maka dia belum boleh mandi wajib dan tidak menunaikan solat kerana tidak sah.

Menghindari larangan syarak ialah pahala bagi yang menjauhinya apabila datang perkara yang menghalangnya melakukan ibadah seperti masalah haid itu.

Namun, antara perkara yang sering diremehkan ialah belum mandi dan solat ketika haid telah kering.

Ia ialah satu perbuatan yang salah dan wajib dijauhi.

Jika ini berlaku, maka wajib ganti berdasarkan kesepakatan empat mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan Fellow Pertubuhan Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), pendakwah dan penulis.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *