Dalam usaha menyokong kelestarian negara, Sime Motors dan Perbadanan Stadium Malaysia hari ini mengumumkan kerjasama strategik untuk memperluas penggunaan kenderaan elektrik (EV), sekali gus menyumbang kepada peralihan kepada pengangkutan yang lebih mesra alam.
Sebagai sebahagian daripada kolaborasi ini, Sime Motors memperkenalkan AutoArena, pameran automotif pertama negara yang berlangsung di Stadium Nasional Kuala Lumpur Sports City. Pameran selama tiga hari ini mempamerkan jenama automotif terkenal milik Sime Motors, seperti BMW, MINI, Motorrad, BYD, Ford, Hyundai, Jaguar, Land Rover, Volvo serta pilihan kenderaan terpakai premium dari Auto Selection. Acara ini merupakan yang pertama dalam siri pameran automotif yang akan datang, yang dianjurkan bersama Sime Motors dan Perbadanan Stadium Malaysia.
Di samping itu, Sime Motors turut menyediakan dua kenderaan elektrik (EV) yang akan berkhidmat sebagai kenderaan rasmi untuk operasi stadium selama 24 bulan. Stesen pengecasan EV juga akan dipasang di stadium untuk memudahkan akses kepada kemudahan pengecasan bagi masyarakat sekitar.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, berkata, “Permintaan terhadap EV di Malaysia terus berkembang, seperti yang dapat dilihat dengan peningkatan jualan EV pada tahun 2024. Kerjasama dengan Perbadanan Stadium Malaysia ini bukan sahaja memenuhi keperluan operasi mereka dengan membekalkan kenderaan lestari, tetapi juga menyediakan infrastruktur pengecasan EV untuk kemudahan masyarakat setempat. Inisiatif ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperluas penggunaan EV menjelang 2030 dan meningkatkan kesedaran mengenai manfaat pemilikan EV di kalangan rakyat Malaysia.”
Jeffrey menambah, “Sebagai pemain utama dalam industri automotif, kami teruja untuk menawarkan pelbagai pilihan EV dari semua jenama kami. Dengan rekod pencapaian kami dalam industri dan rangkaian cawangan serta perkhidmatan pelanggan yang kukuh, AutoArena adalah contoh daripada banyak lagi acara dan pengalaman unik yang akan kami anjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.”

Iliyas Jamil, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, berkata, “Stadium Nasional Bukit Jalil adalah kebanggaan negara dan kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Sime Motors untuk menyokong kelestarian dan pengangkutan hijau. Sebagai destinasi utama untuk acara-acara penting, kami menerima lebih dari sejuta pengunjung setiap tahun. Daya tarikan serta kemudahan kami menjadikan stadium ini lokasi yang sesuai untuk mempamerkan kemudahan pengangkutan EV dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih lestari.”
Pameran AutoArena kini dibuka kepada orang ramai dari 10 hingga 12 Januari 2025, antara pukul 9 pagi hingga 7 malam. Pengunjung berpeluang untuk melihat pelbagai tawaran menarik dan promosi sempena acara ini.
Sertai sambutan tahun baru dengan gaya bersama kenderaan baharu dari AutoArena anjuran Sime Motors. Untuk pendaftaran acara, kunjungi https://www.simemotors.com.my/campaign/sime-motors-autoarena-10-12-january-2025.