SHELL bina kemudahan penyimpan termaju

SHELL bina kemudahan penyimpan termaju

SHELL Malaysia Trading Sdn Bhd dengan rasminya melancarkan tangki penyimpanan bahan api termaju yang baharu dan satu lagi ruang punggah tambahan di Westports, Pelabuhan Klang, untuk meningkatkan keupayaannya dalam memenuhi permintaan bahan api Shell yang semakin meningkat di kawasan Tengah Semenanjung Malaysia.

Tangki baharu ini yang merupakan kemudahan kesepuluh yang dimiliki Shell di terminal ini dibina di bawah Fasa 4 Pelan Pengembangan Terminal Shell Westports. Ia dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Iain Lo dan Pengarah Urusan Kumpulan Westports Malaysia Sdn Bhd, Datuk Ruben Emir Gnanalingam.

Selain daripada tangki simpanan 10 juta liter baharu, pelan pengembangan ini juga merangkumi sebuah ruang punggah yang baharu dengan enam lengan penyalur yang dikonfigurasikan untuk menyalurkan tiga produk bahan api Shell yang utama – Fuelsave 95, V-Power 97 dan Fuelsave Euro 5 Diesel – pada kadar 1,800 liter seminit.

Ini meningkatkan kecekapan proses pemuatan untuk lori tangki jalan raya. Lori-lori tangki kini boleh dimuat sepenuhnya dalam masa 25 minit, seterusnya dapat mengurangkan kesesakan di Terminal Pengedaran Lembah Klang (KVDT).

“Saya gembira mengumumkan bahawa kemudahan penyimpanan baharu di Westports ini akan membolehkan Shell memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi produknya di Lembah Klang.

“Kemudahan baharu yang cekap ini akan meningkatkan daya saing Shell dan memastikan keupayaan Shell untuk memenuhi semua keperluan pelanggan,” kata Datuk Iain Lo.

Beliau juga menambah bahawa Shell telah menyumbang kepada kemajuan Malaysia sejak 128 tahun lalu dan akan terus melabur dalam mengukuhkan kehadirannya di negara ini dengan menawarkan bukan sahaja produk berkualiti tinggi, tetapi juga perkhidmatan yang cekap yang memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan.

Tangki penyimpanan ini dibina dengan menggunakan kaedah jack-up yang inovatif dan bukannya proses bawah-atas tradisional. Di sini, bahagian atas tangki termasuk bumbung yang dibina terlebih dahulu sebelum diangkat dengan hidraulik, yang membolehkan bahagian bawah dipasang.

Ini mengurangkan penggunaan perancah, keperluan pekerja bekerja pada ketinggian dan membina pembinaan diteruskan dengan selamat dan dapat disiapkan lebih awal daripada jadual, walaupun wujud sekatan ruang dan aktiviti yang sedang berjalan di sekitarnya.

Kejayaan menyiapkan Fasa 4 Pelan Pengembangan Terminal Shell Westports merupakan bukti kukuh kerjasama yang rapat dan piawaian keselamatan yang tinggi yang diterima oleh pasukan dari Shell Malaysia, Westports Malaysia Sdn Bhd, perunding dan kontraktor projek.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *