Rungkai rahsia perubatan kuno

Rungkai rahsia perubatan kuno

MUNGKIN ia masih kurang popular di negara kita. Namun, buah barberi (barberry), bukan asing di negara Eropah, Afrika Utara, Timur Tengah dan Asia Tengah. Buah ini juga sangat dikenali secara meluas di Amerika Utara.

Barberi terhasil dari pokok renek setinggi 1 hingga 5 meter dengan daun malar hijau. Ia mudah didapati di seluruh kawasan sederhana dan subtropika di dunia.

Biarpun ia menghasilkan beri dengan rasa keasidan agak tajam, namun kebiasaannya masyarakat di negara terbabit memakannya sebagai buah mentah dan menyegarkan, khususnya untuk kesihatan badan.

Malah ahli falsafah dan ilmuan terkenal Parsi, Ibnu Sina sendiri dalam sebuah karya perubatannya menyebut tentang khasiat barberi yang mampu mengubati pelbagai penyakit.

Justeru tidak hairanlah apabila Ketua Jabatan Anatomi Manusia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Fauziah Othman juga melakukan kajian terhadap barberi.

Saintis ini berjaya merungkai rahsia perubatan kuno Iran berkaitan penggunaan buah barberi. Hasilnya kini produk minuman kesihatan yang kaya dengan bahan antioksidan serta baik untuk hati berjaya dikeluarkan UPM.

Asalnya, seperti penyelidik lain, beliau juga giat melakukan eksperimen terhadap pelbagai herba di negara ini untuk mencari penawar bagi penyakit kanser.

Eksperimen

Semuanya bermula lebih 10 tahun lepas apabila seorang penuntut Iran memberi kepada Fauziah beberapa barberi kering.

Penuntut berkenaan memaklumkan, seperti safron, barberi juga diguna secara meluas di Iran sebagai perasa dalam makanan dan penduduk negara itu (seperti nenek moyang Parsi mereka) dan percaya bahawa buah ini baik untuk kesihatan.

Kebetulan ketika berkunjung ke Iran, Fauziah tertarik dengan warna merah garang barberi yang pohonnya tumbuh subur di samping safron di lereng bukit dan kawasan lapang.

“Saya membuat keputusan untuk melakukan eksperimen dengan menggunakan kultur tisu hati yang dihidapi kanser serta model kanser hati tikus.

“Mengujakan apabila tikus yang dijamu dengan pekatan pelbagai jus berberi, tidak menghidap kanser hati, walaupun diberi karsinogen. Sekumpulan lagi tikus yang tidak dijamu dengan jus beri pula menghidap kanser hati,” katanya.

Jus

Secara keseluruhan, Fauziah dan kumpulan penyelidiknya menghabiskan masa lebih 20 tahun berkecimpung dalam kajian ini untuk membuat analisis tentang barberi, mengenal pasti dan mendokumentasikan komposisi kimia serta khasiat pemakanan buah berkenaan.

x-default

x-default

Hasil ujian makmal secara terperinci, beliau mencipta minuman kesihatan atau makanan tambahan yang beliau namakan OgyBerry Juice.

“OgyBerry mengandungi aktiviti antioksiden yang tinggi (lebih 80 peratus bagi setiap pekatan tertentu) dan berpotensi besar mampu mencegah kanser hati.

“Pengilang atau pengusaha boleh bekerjasama untuk urusan produk ini,” kata saintis berasal dari Kelantan yang pernah memenangi pingat emas di Ekspo Teknologi Malaysia 2007 ini.

Menurutnya, selain boleh menjadikan barberi dalam bentuk jus sebagai minuman, buah ini yang sudah dikeringkan boleh menjadi snek makanan.

Kongsi Fauziah, kebiasaannya bagi masyarakat Iran, buah ini digunakan dalam masakan dan minuman.

Namun ini ada pesanan beliau kepada mereka berhasrat menggunapakai khasiat buah ini:

“Seperti kebanyakan herba, adalah dianjurkan penggunaannya hanya pada kepekatan yang rendah kurang dari 10 peratus tapi secara konsisten. Jangan guna ekstrak buah ini pada kepekatan yang tinggi terutama untuk orang mengandung atau mereka yang makan ubat cair darah.”

Merasakan keperluan untuk lebih menyebarluaskan khasiat barberi, beliau tidak menafikan ia turut berpotensi untuk ditanam dan dikomersialkan di negara ini.

Jika ada mereka berhasrat mengusahakan perladangan barberi, apa tunggu lagi? Tidak salah sekiranya kita mahu mencuba!

ANEKDOT

Kebaikan barberi:

Mengurangkan jangkitan dalam saluran urin.

Merawat cirit-birit.

Memperbaiki penghadaman.

Mengurangkan keracunan makanan.

Mengelakkan diabetes.

Mengawal kolesterol.

Memperbaiki aliran darah.

Bantu kesihatan jantung.

Bantu sistem imun.

Kesihatan mata.

Mengubati anemia.

Membantu menstruasi biasa wanita.

Turunkan tekanan darah.

Sumber: www.epainassist.com/diet-and-nutrition/



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *