Risiko pesara warga emas jadi usahawan

Risiko pesara warga emas jadi usahawan

DALAM satu seminar pengurusan kewangan selepas persaraan, seorang ahli panel menyuarakan kebimbangan apabila melihat semakin ramai pesara warga emas mula berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan dengan wang persaraan mereka.

Ahli panel itu yang juga perunding kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir berpendapat, tindakan golongan itu satu percaturan silap kerana mereka berisiko tinggi menjadi mangsa sindiket penipuan skim cepat kaya.

“Sepanjang penglibatan saya dalam dunia kewangan menerusi bengkel serta mendengar pelbagai cerita akuan mangsa, didapati golongan pesara berisiko tinggi menjadi mangsa sindiket penipuan skim cepat kaya.

“Ini kerana pesara kerajaan akan mendapat wang ganjaran selain pencen, manakala pesara swasta menerima wang caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Merekalah yang menjadi tumpuan sindiket,” katanya pada Bengkel Kewangan Islam Bersara, Berharta dan Berjaya anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau yang mempunyai pengalaman 19 tahun dalam dunia kewangan khususnya berkaitan pelaburan saham amanah, hartanah dan emas berkongsi cerita mengenai mangsa sindiket skim cepat kaya kepada peserta bengkel.

Jadi usahawan

Menurut Shamsuddin, kesilapan mangsa bukan sahaja kerana sikap tamak serta mudah menyerahkan wang berjuta ringgit kepada individu yang tidak dikenali bahkan, disebabkan terlalu gelojoh mahu menjadi usahawan.

Sebagai seorang yang bekerja makan gaji dan tidak pernah berkecimpung dalam dunia perniagaan, langkahnya menceburi dunia perniagaan selepas umur bersara adalah percaturan berisiko tinggi dan sepatutnya tidak diikuti pesara lain.

Ini kerana mangsa tidak mahir selok-belok urusan jual beli, strategi perniagaan mahupun perancangan dunia bisnes yang penuh risiko dan sekali gus memberi peluang mudah kepada ejen sindiket memanipulasi.

“Ramai pesara warga emas berminat ceburi dunia perniagaan. Sebenarnya, sekadar hadiri kursus yang baru beberapa hari dan hendak berkecimpung dalam dunia bisnes selepas bersara adalah kesilapan besar khususnya pesara makan gaji.

“Mereka tidak pernah merasai getirnya dunia perniagaan. Boleh dikatakan, majoriti kena tipu dengan skim cepat kaya adalah golongan pekerja makan gaji. Kalau ada 1,000 orang, 999 mangsanya adalah pekerja makan gaji,” katanya.

Ini kerana, kebanyakan pekerja makan gaji gemar mendengar perkataan tidak ada risiko, pastinya untung dan tidak akan rugi. Ia ayat promosi yang biasanya dikaitkan dengan skim penipuan tersebut berbanding individu yang sejak awal lagi memang terlibat dalam dunia keusahawanan.

Rombak kursus

Bagi yang sudah lama berkecimpung dalam urusan jual beli, mereka sudah sedia maklum bahawa tidak ada satu perniagaan pun di dunia ini yang menjamin sesuatu pelaburan itu selamat tanpa ada sebarang kerugian.

“Pelaburan tinggi tanpa atau kurang risiko tak logik tetapi itulah modus operandi ejen penipuan skim ini selain menggunakan kereta mewah, selebriti dan agama.

“Biasanya, pesara warga emas suka dengar pelaburan berasaskan agama kononnya boleh dapat tambah pahala dan dapat pula untung berganda. Sebab itulah, saya nasihatkan pekerja makan gaji janganlah buat bisnes selepas bersara jika tiada pengalaman berniaga,” katanya.

Dalam hal ini, Shamsuddin menekankan kepentingan supaya modul kebanyakan kursus atau bengkel persaraan terutama untuk bakal pesara kerajaan dirombak semula.

Beliau berkata, majoriti program berkenaan sama ada anjuran syarikat atau mana-mana pertubuhan berkaitan begitu gemar menyelitkan modul meminjam duit melalui agensi kerajaan terpilih yang memberi bantuan modal untuk memulakan bisnes kepada bakal pesara.

Walhal, katanya, sewajarnya pengisian kursus persaraan ditumpukan kepada pengurusan kewangan dan persediaan menghadapi hari tersebut dengan aktiviti lebih berfaedah.

Tambah beliau, agensi kerajaan gemar mengadakan kursus persaraan yang menyelitkan topik modul keusahawanan sedangkan ia tidak sesuai dengan umur peserta yang bakal bersara sama ada satu ataupun lima tahun lagi. Lebih 40 peratus kandungan jadual kursus persaraan bertumpu kepada modul keusahawanan.

“Pihak penganjur juga selalu meminta saya menyediakan modul keusahawanan yang mengambil satu hingga dua hari kepada bakal pesara tetapi biasanya saya tolak kerana bagi saya ia tidak sesuai. Ia sebenarnya akan mendedahkan golongan pesara kepada jerat skim cepat kaya disebabkan kurang pengalaman dunia bisnes.

“Sebenarnya, apabila kita sudah bersara, ia bukan masa untuk buat bisnes lagi. Jika kita mahu buat bisnes, sertai dunia bisnes sebaiknya sebelum berusia 45 tahun,” katanya.

Rujuk pakar

Bagi Pengurus Besar Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Nor Fazleen Zakaria, ada baiknya seseorang individu yang ingin melabur merujuk kepada mereka yang arif atau pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia supaya tidak mudah tertipu.

Katanya, masyarakat perlu sedia maklum bahawa hanya institusi kewangan seperti bank, syarikat insurans dan pengendali takaful serta pengurup wang dan penyedia perkhidmatan pengiriman wang yang diberikan lesen oleh BNM sahaja dibenarkan untuk menyediakan perkhidmatan kewangan di Malaysia.

Selain daripada itu, katanya, sama ada didatangi individu tidak dikenali atau rakan lama yang menyatakan mengenai pelaburan, ada kemungkinan besar mereka tidak mempunyai lesen BNM dan merupakan ejen sindiket.

“Pesara perlu sedar bahawa jumlah wang yang banyak yang mereka ada itu tidaklah sebesar yang disangka untuk menempuh zaman persaraan kerana ada kemungkinan lain seperti keperluan perubatan dan kecemasan.

“Sebaik-baiknya berhati-hatilah jika mahu membelanjakan wang persaraan,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *