Ringgit menyusut disebabkan ketegangan geopolitik

Ringgit menyusut disebabkan ketegangan geopolitik

RINGGIT terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas pelabur memilih mata wang selamat susulan kebimbangan terhadap ketegangan geopolitik membabitkan AS-China.

Lawatan Speaker Perwakilan Dewan AS, Nancy Pelosi ke Taiwan telah menimbulkan ketidaksenangan China dan mendorong mereka untuk menggerakkan tentera udara serta laut sebagai respons kepada lawatan tersebut sekaligus, menimbulkan ketengangan selanjutnya dalam hubungan kuasa-kuasa besar itu, kata peniaga.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.4550/4565 berbanding dolar AS daripada 4.4540/4565 yang direkodkan pada Selasa.

Pakar Ekonomi Bebas, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS telah disokong dengan baik sepanjang Rabu selepas ketidaktentuan geopolitik di Taiwan terus berkembang.

Tambahan pula, jualan runcit Kesatuan Eropah (EU) menguncup 3.7 peratus dari tahun ke tahun pada Jun berbanding penguncupan 1.7 peratus yang didasarkan kepada anggaran konsensus.

“Nampaknya ekonomi AS terus bertambah baik berbanding Eropah, menunjukkan bahawa Rizab Persekutuan AS berada di landasan bagi kenaikan kadar dasar antara 3.25 peratus dan 3.5 peratus menjelang akhir 2022.

“Oleh itu, gabungan pengelakan risiko termasuk prospek untuk kadar dana rizab yang lebih tinggi akan memberikan kelebihan kepada dolar AS. Dengan lanjutan itu, ringgit mungkin kekal lemah dalam jangka masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, ketegangan AS-China yang membabitkan Taiwan, digabungkan dengan kadar AS yang agresif telah menjejaskan ringgit sepanjang Rabu.


Bagaimanapun, ringgit ditutup lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu naik berbanding euro kepada 4.5396/5412 daripada 4.5587/5612 yang dicatatkan semalam dan menokok berbanding pound British kepada 5.4244/4262 daripada 5.4406/4436 sebelum ini.

Ia juga melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.2262/2277 daripada 3.2278/2301 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3459/3472 daripada 3.4031/4053. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber