Pasaran getah ditutup bercampur-campur

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

PASARAN getah Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini berikutan penurunan harga minyak mentah dan inflasi yang melambung tinggi.

Seorang peniaga berkata, pasaran hadapan getah serantau turut menunjukkan prestasi yang serupa.

Beliau berkata, harga minyak jatuh kira-kira satu peratus pada Rabu menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+).

Ini susulan kebimbangan dalam kalangan pelabur akan kelembapan pertumbuhan global dan ini telah menjejaskan permintaan bahan api selain mengukuhkan nilai dolar.

“Menjelang mesyuarat itu, OPEC+ mengurangkan unjurannya untuk lebihan pasaran minyak tahun ini sebanyak 200,000 tong sehari (bpd) kepada 800,000 bpd,” katanya.

Beliau juga berkata, kemerosotan yang dialami niaga hadapan getah Jepun selama tiga sesi berturut-turut berakhir pada Rabu, mengambil kesempatan di atas keuntungan yang diraih pasaran Shanghai sementara nilai yen yang lemah berbanding dolar AS telah mendorong pembelian baharu.

Namun begitu, beliau berkata, kerugian selanjutnya berjaya disekat oleh data ekonomi China yang bertambah baik ekoran pelonggaran sekatan Covid-19 dan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS.

“Aktiviti perkhidmatan China berkembang pada kadar terpantas dalam tempoh 15 bulan pada bulan Julai kerana pelonggaran sekatan Covid-19 berjaya meningkatkan keyakinan pengguna,” katanya.


Sementara itu, berbanding penutup Selasa, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun 0.5 sen kepada 671.5 sen sekilogram (sekg) manakala lateks pukal naik 2.0 sen kepada 531.0 sen.

Pada jam 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 berada pada harga 671 sen sekg manakala lateks pukal pada 532.5 sen sekg. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber