Ramai usahawan belum cekap urus perniagaan, kewangan

Ramai usahawan belum cekap urus perniagaan, kewangan

KEMENTERIAN Pembangunan, Usahawan dan Koperasi mendedahkan masih ramai usahawan di negara ini belum cekap dalam pengurusan dan kewangan sehingga memberi risiko kepada perniagaan diceburi.

Timbalan Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, K Saraswathy berkata, keadaan itu berlaku berpunca daripada kegagalan usahawan terutama yang baru menceburkan diri mendapatkan khidmat nasihat pengurusan yang betul.

Menurutnya, berdasarkan laporan Institut Keusahawanan Negara (Insken), didapati hampir setiap usahawan berdepan kekangan dana, namun apabila diselidiki perkara itu berpunca daripada ketidakcekapan mereka mengurus wang perniagaan.

“Agensi di bawah kementerian seperti Insken, Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga), IKMa (Institut Koperasi Malaysia) dan SME Corp ada memberi nasihat dan bimbingan kepada usahawan.

“Jadi saya minta semua usahawan khususnya remaja yang ingin menceburi perniagaan untuk mendapatkan nasihat awal dari segi pengurusan perniagaan dan kewangan yang disediakan kerajaan di bawah pelbagai kementerian.

“Dengan langkah ini mereka boleh meneruskan perniagaan tanpa sebarang sekatan atau halangan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Hari Usahawan Negeri Perak dan Jualan Ambang Aidilfitri Daerah Muallim di Dewan Seri Tanjung, Tanjung Malim, pada Ahad.

Saraswathy (dua dari kanan) menyertai jualan 'happy hour' sempena Jelajah Hari Usahawan Negeri Perak dan Jualan Ambang Aidilfitri Daerah Muallim di Dewan Seri Tanjung, Tanjung Malim pada Ahad.

Saraswathy (dua dari kanan) menyertai jualan ‘happy hour’ sempena Jelajah Hari Usahawan Negeri Perak dan Jualan Ambang Aidilfitri Daerah Muallim di Dewan Seri Tanjung, Tanjung Malim pada Ahad.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed.

Saraswathy berkata, informasi yang tepat seperti peluang pemasaran, dana bantuan serta skim pembiayaan akan dapat membantu membina keyakinan komuniti usahawan meningkatkan keupayaan perniagaan masing-masing.

Katanya, di peringkat permulaan keusahawanan, agensi di bawah seliaan kementerian seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menawarkan tujuh skim pembiayaan bermula dari RM5,000 hingga RM30,000 serta pelbagai pakej bimbingan lain untuk mereka yang ingin memulakan dan mengembangkan perniagaan.

“Begitu juga dengan Tekun yang tidak hanya menyediakan kemudahan modal perniagaan semata-mata sebaliknya peluang perniagaan, khidmat bimbingan dan sokongan jaringan usahawan.

“Sejak ditubuhkan pada 1998 sehingga Mac 2023, Tekun telah menyalurkan pembiayaan mikro lebih RM8.3 bilion kepada 752,177 usahawan melalui 170 cawangannya di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, beliau memuji usaha kerajaan negeri Perak yang mengambil inisiatif mengadakan siri Jelajah Hari Usahawan di setiap daerah.

Ujarnya, menerusi jelajah yang masuk kali ketiga itu, lebih 40 agensi persekutuan dan negeri membuka kaunter perkhidmatan dan menawarkan khidmat nasihat berkaitan keusahawanan.

“Terdapat juga lebih 40 usahawan dan komuniti koperasi terlibat dalam aktiviti jualan barangan keperluan pengguna.

“Ini usaha yang baik dan wajar dimanfaatkan oleh usahawan dan bakal usahawan mendapatkan informasi agar lebih berjaya dalam perniagaan,” katanya.

Sumber