(From Left to Right) – Mr. Goh Chen Ann (Executive Director of HSS Holdings Berhad), Mr. Goh Chen Chang, (Managing Director of HSS Holdings Berhad), Datuk Bill Tan (Executive Director of M & A Securities Sdn. Bhd.), Mr. Gary Ting, Head, (Corporate Finance of M & A Securities Sdn Bhd) HSS Holdings Berhad mengambil langkah penting dalam perkembangan korporatnya apabila melancarkan prospektus sempena Tawaran Awam Permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad. IPO tersebut melibatkan penerbitan 75 juta saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 52.5 juta saham sedia ada. Dengan harga IPO ditetapkan pada RM0.18 sesaham, syarikat itu dijangka mengumpul hasil kasar sebanyak RM13.5 juta. Hasil yang diperoleh akan digunakan untuk beberapa tujuan utama termasuk RM2.57 juta bagi perbelanjaan modal Kemudahan Pembuatan Kumpulan, RM4.50 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM2.93 juta bagi modal kerja dan RM3.50 juta untuk kos penyenaraian. Beroperasi sejak tahun 2004, HSS mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam industri produk bakeri tempatan. Syarikat itu telah membina rangkaian pengedaran yang meluas melibatkan pemborong, pengedar dan peruncit di seluruh negara. Portfolio produk HSS merangkumi lebih 6,000 SKU terdiri daripada kek, biskut, snek dan produk lain yang dipasarkan menerusi jenama seperti SINAR®, 合顺成饼家® dan Sa1ko®. Selain produk jenama sendiri, syarikat itu turut menyediakan produk berjenama dan tidak berjenama mengikut permintaan pelanggan. Bagi memperkukuh operasi, HSS merancang untuk menggunakan dana IPO bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran dan tahap automasi operasi. Perancangan tersebut melibatkan pemasangan barisan pengeluaran biskut baharu, penambahbaikan fasiliti sedia ada, automasi proses pengeluaran tertentu dan pembangunan barisan pengeluaran kek automatik baharu. Pengarah Urusan HSS Holdings Berhad, Goh Chen Chang berkata, IPO ini menjadi platform penting untuk syarikat meneruskan pertumbuhan dalam industri produk bakeri. Menurut beliau, HSS telah membina kedudukan yang kukuh dalam pasaran melalui kepelbagaian produk, rangkaian pengedaran yang stabil dan hubungan pelanggan yang telah lama dibina. “Melalui IPO ini, kami berharap dapat meningkatkan kecekapan operasi dan memperluaskan kapasiti pengeluaran bagi menyokong pertumbuhan masa depan,” katanya. Sementara itu, Datuk Bill Tan dari M & A Securities Sdn. Bhd. berkata, pengalaman lebih 20 tahun HSS dalam industri bakeri menjadi antara faktor utama yang mengukuhkan kedudukan syarikat dalam pasaran domestik. Beliau menambah, pelaburan dalam kemudahan pembuatan dan automasi akan membantu memperkukuh asas operasi HSS sebagai syarikat tersenarai. M & A Securities Sdn. Bhd. dilantik sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO tersebut. Post navigation Lonjakan PAT 192.6% Pacu Prestasi Luar Biasa Orgabio Pada 3Q26