Malaysia rancang perkenal rangkaian kedua 5G

Malaysia rancang perkenal rangkaian kedua 5G

MALAYSIA merancang untuk memperkenalkan rangkaian kedua 5G mulai tahun depan dan rombakan dasar terbaharu bertujuan untuk menghapuskan monopoli dan menggalakkan persaingan.

Memetik laporan Reuters, pelancaran 5G Malaysia oleh agensi kerajaan Digital Nasional Berhad (DNB) telah mengalami kelewatan sejak ia dilancarkan pada Disember 2021.

Jelasnya, hal itu disebabkan kepekaan industri tersebut terhadap harga dan ketelusan, serta kebimbangan terhadap rangkaian yang dikendalikan oleh kerajaan mungkin akan mengakibatkan isu monopoli negara.

Laporan itu memaklumkan, Anwar telah mengarahkan kajian semula berbilion-bilion dolar terhadap projek kerajaan kerana beliau ingin mengukuhkan tadbir urus dan meminimumkan perbelanjaan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu juga berikrar akan meningkatkan persaingan bagi memastikan perkhidmatan yang lebih baik untuk orang ramai.

Menurut empat sumber yang enggan dikenali telah memberitahu Reuter, tentang Kerajaan Perpaduan kini merancang untuk memperkenalkan rangkaian 5G kedua mulai Januari 2024 untuk mencabar DNB daripada memonopoli pasaran.

Bagaimanapun, Kementerian Komunikasi dan Digital memaklumkan kepada media bahawa belum ada keputusan dibuat mengenai rancangan 5G tersebut.

“Perkara itu masih dalam penelitian,” kata Setiausaha Akhbar, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Firdaus Mohd melalui mesej pesanan ringkas.

Sebelum ini, pihak berkepentingan pernah mencadangkan untuk menyediakan rangkaian 5G kedua kepada kerajaan terdahulu, namun telah ditolak pada Mac tahun lalu.

Pada masa sama, DNB membangunkan rangkaiannya yang tersendiri pada penghujung 2021 dengan penyertaan dua firma telekomunikasi secara percubaan.

Jelas laporan itu, selepas beberapa bulan perbincangan, empat daripada lima pengendali mudah alih negara bersetuju pada Oktober tahun lalu, untuk menggunakan rangkaian DNB dan membuka perkhidmatan rangkaian 5G.

Bagaimanapun, Anwar mengatakan bahawa rancangan 5G itu tidak dijalankan dengan telus oleh pentadbiran terdahulu.

Tambah laporan itu, DNB menafikan dakwaan tersebut. Pelan rangkaian kedua berkenaan bergantung kepada DNB dan pengendali mudah alih dalam memastikan liputan rangkaian 5G mencapai sasaran kerajaan iaitu sebanyak 80 peratus daripada kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, dua sumber turut memaklumkan kepada Reuter, cadangan mengenai rancangan itu dijangka dikemukakan kepada kabinet pada Rabu.

Sumber