Racun kimia ancaman pembunuh senyap

Racun kimia ancaman pembunuh senyap

SERANGAN serangga perosak sememangnya isu perbahasan hangat utama dalam kalangan petani. Masakan tidak, berdepan masalah tersebut mampu mengundang risiko kerugian, malah boleh menutup periuk nasi mereka.

Pakar Biokimia, Kimia Organik dan Fitokimia UPM, Dr Nur Kartinee Kassim berkata, kebanyakan petani merungut apabila pertanian terjejas akibat serangan bakteria, kulat, rumpai dan serangga perosak.

“Ancaman itu menyebabkan hasil pertanian berkurangan setiap musim. Pada masa sama, pengeluaran terjejas dan kualiti tidak memuaskan.

“Lantaran itu, kaedah paling biasa yang digunakan untuk mengawal serangan perosak adalah penggunaan intensif racun sintetik sejak tahun 1960-an lagi,” demikian katanya.

Jika diimbas semula, banyak laporan media mengenai penggunaan racun sintetik secara tidak sah di dalam negara. Sisa toksik yang mencemari bekalan air sehingga mengundang bahaya kepada penduduk setempat.

Ujar Dr Nur Kartinee, penggunaan racun serangga dalam pengurusan perosak tanaman kubis seperti di kawasan tanah tinggi rancak dijalankan demi menghasilkan produk yang ‘cantik’.

“Bahayanya racun sintetik ini juga mendapatkan perhatian Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) sehingga mengeluarkan arahan mengharamkan sayur-sayuran yang menggunakan racun perosak dari Cameron Highlands dan Johor Bahru.

“Ini kerana banyak masalah ditimbulkan racun serangga sintetik yang bukan sahaja memberi kesan kepada manusia bahkan alam sekitar untuk tempoh jangka masa panjang,” jelasnya.

kartinee

kartinee

Terangnya lagi, penggunaan racun kimia bahaya itu membunuh bukan pada sasaran kerana melibatkan semburan menyeluruh selain menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.

“Selain bukan biodegradasi, kesan sisa kimia terhadap sayur-sayuran yang dituai cukup membahayakan, bahkan menimbulkan kesan rintangan kepada perosak,” ujarnya.

Justeru itu, penyelidik yang berpengalaman lebih 10 tahun itu turut menekan kawalan organik sangat penting dan berpotensi membantu meningkatkan sekuriti tabung makanan negara seiring permintaan yang semakin tinggi.

“Ketika ini, penggunaan kawalan racun alami hanya meliputi dua peratus sahaja sebagai perlindungan tumbuhan di dunia dan dianggarkan pengeluaran biopestisida global lebih 3,000 tan setahun.

“Atas justifikasi itu, kajian kami insya-ALLAH bakal memenuhi keperluan petani yang mengharapkan kawalan organik untuk tanaman mereka dengan kos lebih murah dan efektif,” jelasnya.

Sumber