Program World #QuranHour 2022: Raja Permaisuri dijadual cemar duli

Inspirasi Destinasi Menarik Percutian Impian > GAYA HIDUP > Program World #QuranHour 2022: Raja Permaisuri dijadual cemar duli

Program World #QuranHour 2022: Raja Permaisuri dijadual cemar duli

GOMBAK – Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual mencemar duli bagi menghadiri Program World #QuranHour 2022 berlangsung di lokasi perdana, Studio TV AlHijrah pada 26 April ini.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, Tunku Azizah menyatakan hasrat tersebut atas kehendak sendiri apabila mengetahui tentang penganjuran program itu.

Beliau berkata, Tunku Azizah yang merupakan Ketua Perlembagaan UIAM juga mempunyai kelas tadabbur al-Quran secara peribadi bersama pensyarah UIAM.

“Tunku Azizah memang cukup prihatin tentang agama. Saya boleh maklumkan bahawa Tunku sejak pandemik Covid-19, ada kelas tadabbur sendiri dengan pensyarah UIAM seminggu sekali termasuk secara atas talian.

“Tunku sendiri yang minta untuk belajar… walaupun sebagai Permaisuri tapi Tunku masih merasakan perlu belajar, dan ingin terus mengetahui (tadabbur) dan juga sangup mengorbankan masa.

“Bermakna, Tunku dengan al-Quran adalah satu perkara yang lazim. Jadi Tunku Permaisuri akan turut serta (World #QuranHour) atas kehendaknya sendiri dan e-mail telah dihantar kepada saya menyatakan kesediaan Tunku untuk turut serta,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di UIAM, di sini pada Khamis.

UIAM merupakan salah satu rakan sinergi World #QuranHour yang dinaungi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

World #QuranHour kembali untuk tahun ketujuh membawakan tema ‘Dunia Bersujud’ sebagai usaha memperkukuhkan gelombang gerakan ‘Baca, Faham dan Amal Al-Quran’ dalam kalangan masyarakat.

Ia juga merupakan sebuah gerakan membina sistem nilai melalui al-Quran dan Hadis (Thematic & Reconstruct) dengan solidariti yang dilaksanakan bermula dari Malaysia ke seluruh dunia.

Surah Al-Sajdah dipilih untuk dikaji dan dibumikan bersempena World #QuranHour 2022.

Matlamat Surah Al-Sajdah adalah menjadi panduan untuk penyatuan ummah melalui ekonomi dalam mencapai matlamat Dunia Berbudi & Penyayang.

Mengulas mengenai pemilihan Surah Al-Sajdah, Dzulkifli berkata banyak perkara dapat diambil menerusi makna surah tersebut yang perlu dijadikan pengajaran buat seluruh masyarakat.

Katanya, UIAM sendiri mengambil pendekatan tersendiri menerusi penghayatan ayat 4 Surah Al-Sajdah yang bermaksud:

ALLAH yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arsy. Bagimu tidak ada seorang pun penolong mahupun pemberi syafaat selain Dia. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?

“Pengajaran ini yang kita di universiti ini cuba bawa konsep pembangunan lestari baru-baru ini tentang bagaimana kita mentadbir alam semesta dan tidak mengabaikannya.

“Selama tiga bulan pelajar-pelajar turun padang ke kampung-kampung yang menghadapi banjir dan mereka pulang dengan pengajaran yang tidak ada ketika belajar dalam dewan kuliah,” katanya.

Sumber