Pemilihan Surah Al-Insan tepat dengan senario semasa

Pemilihan Surah Al-Insan tepat dengan senario semasa

JOHOR BAHRU – Pemilihan Surah Al-Insan sempena Malaysia #QuranHour kali ini dilihat bertepatan dengan senario semasa terutamanya pada dua ayat terakhir surah berkenaan.

Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Johor, Md Yusof Jamar berkata, ayat berkenaan menceritakan mengenai kejadian manusia termasuk segala ujian, cubaan yang ditempuhi menuju ke akhirat kelak.

“Pada dua ayat terakhir Surah Al-Insan ini, ALLAH SWT menceritakan mengenai kejadian manusia.

“Dalam kehidupan manusia sudah pastinya ada bermacam ujian dan semoga mereka (manusia) diberikan kekuatan untuk berdepan ujian dan cubaan ini.

‘Secara keseluruhannya, kita nak lahirkan pemimpin hebat, merdeka dan mampu menjadi pemimpin abrar iaitu pemuda yang dididik dengan pendidikan al-Quran, pendidikan agama dan selepas itu dilantik untuk memimpin pada masa hadapan,” katanya.

Md Yusof

Md Yusof

Md Yusof berkata demikian sempena program Malaysia #QuranHour di Masjid Al Asma’ul Husna, Bandar UDA Utama di sini pada Rabu.

Untuk rekod, Surah Al-Insan turut menjadi pilihan sempena World #QuranHour, April lalu.

Bertemakan, Malaysia Berakhlak Mulia, Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar, program Malaysia #QuranHour kali ini melibatkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada penduduk di kawasan sekitar termasuk peserta dari luar Johor Bahru.

Tambah Md Yusof, pemilihan Surah Al-Insan kali ini juga bertujuan memberikan penekanan terhadap ujian serta cubaan yang dialami manusia setiap hari.

“Kita berikan penekanan kepada Surah Al-Insan ini kerana hari-hari kta berdepan ‘cubaan’ seperti isu-isu yang tular, kisah maksiat, selain melakukan perbuatan fasik dan lain-lain.

“Justeru, kita pilih Surah Al-Insan ini untuk diketengahkan dan dihayati kesemua peserta pada Malaysia #QuranHour kali ini,” katanya.

Mohd Safar

Mohd Safar

Sementara itu pengerusi masjid berkenaan, Mohd Safar Musir berkata, pihaknya sangat berbesar hati kerana masjid berkenaan dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Malaysia #QuranHour kali ini.

Katanya, respon yang diterima adalah sangat baik berdasarkan kepada jumlah kehadiran yang agak ramai daripada masyarakat setempat.

“Kita rasa berbesar hati kerana dipilih untuk anjurkan (Malaysia) #QuranHour ini dan alhamdulillah, ia mendapat respon yang baik daripada masyarakat di sini dan juga dari luar… alhamdulillah,” katanya.

Sumber