MR D.I.Y edar 85,000 kit ujian percuma

MR D.I.Y edar 85,000 kit ujian percuma

SHAH ALAM – MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y) meneruskan inisiatif #DIY4Universiti ‘Sentiasa Berwaspada, Tanggungjawab Bersama’ dengan mengedarkan 85,000 kit ujian percuma sekali gus mendidik pelajar mengenai kesedaran mencegah Covid-19 bagi memastikan mereka dan komuniti universiti kekal selamat.

Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, MR D.I.Y bersedia untuk mengedarkan lebih banyak kit ujian kepada empat universiti tempatan lain di seluruh negara pada Oktober ini apabila pelajar kembali ke kampus.

Menurutnya, antara universiti yang terlibat di bawah fasa program seterusnya termasuklah Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Universiti Teknologi Malaysia (Kuala Lumpur dan Skudai, Johor), UTAR (Kampar, Perak), dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

“Program ini bagi mengingatkan pelajar mengenai kepentingan melakukan ujian saringan dengan kerap bagi memastikan diri mereka dan komuniti universiti kekal selamat, dan mempunyai akses untuk melakukan ujian tersebut.

“Selain menyediakan kit ujian yang diperlukan pelajar, MR D.I.Y. juga mendidik mereka dengan menunjukkan cara-cara menggunakan kit ujian dengan betul.

“Ini untuk memastikan negara terus berada di landasan pemulihan dan juga sebahagian usaha kami sejak dua tahun lalu demi memastikan rakyat Malaysia dilengkapi dengan peralatan perlindungan diri yang berpatutan dan mudah didapati,” katanya dalam satu kenyataan.

Goh berkata, setakat ini, enam universiti telah melaksanakan inisiatif tersebut, antaranya Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur; Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi; Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Sungai Long; Universiti Antarabangsa UNITAR Petaling Jaya dan Universiti Islam Antarabangsa (IIUM) Gombak.

Pelajar Universiti Malaya menggunakan kit ujian percuma daripada MR D.I.Y.

Pelajar Universiti Malaya menggunakan kit ujian percuma daripada MR D.I.Y.

“Inisiatif #DIY4Universiti salah satu siri kerjasama MR D.I.Y dengan institusi pengajian tinggi yang dilancarkan pada Oktober lalu untuk membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus selepas melalui tempoh kawalan pergerakan yang berlanjutan akibat pandemik.


“Edisi terdahulu program ini melibatkan pengagihan pensanitasi tangan, pelitup muka dan bantuan lain kepada para pelajar Universiti Malaya dan Universiti Tuanku Abdul Rahman pada Oktober dan November tahun lalu serta pengagihan bantuan wang tunai kepada 12,000 pelajar Universiti Malaya pada November-Disember 2021,” katanya.

Beliau berkata, MR D.I.Y mula menjual kit ujian pada Januari 2022 dan kini menjual tiga kit ujian ‘Mix & Match’ yang terdiri daripada kit ujian calitan hidung dan air liur pada harga RM10 di cawangan-cawangan MR D.I.Y., MR. TOY, dan MR. DOLLAR di seluruh negara sehingga 31 Ogos ini.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber