Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia bersama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) telah menghebohkan dengan pelancaran Program Bermalam Di Muzium 2023 di Muzium Hang Tuah, Kampung Duyong, Melaka.
Program yang pertama kali berjalan pada tahun 2005 di Muzium Negara ini kini telah memuncak sebagai salah satu program ‘signature’ yang diiktiraf oleh Jabatan Muzium Malaysia. Sejak tahun 2016, program ini turut diadakan serentak di muzium-muzium negeri dan institusi. Program ini telah menerima sambutan hangat daripada pelajar-pelajar sekolah di seluruh Malaysia, menunjukkan peningkatan penyertaan setiap tahun. Walau bagaimanapun, akibat Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19, program ini terpaksa dihentikan selama tiga (3) tahun, tetapi semangatnya kini kembali membara untuk dinikmati oleh semua.
Tahun ini menyaksikan program ini dilaksanakan semula dengan penyertaan seramai 1,551 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dari seluruh Malaysia melalui penglibatan 25 buah muzium-muzium yang terdiri dari muzium persekutuan, muzium negeri dan muzium institusi. Program ini menyasarkan golongan remaja secara khusus ke arah menyuburkan semangat cintakan tanah air sekaligus memupuk apresiasi yang tinggi kepada warisan sejarah, seni dan budaya negara menerusi aktiviti permuziuman.
Pelbagai pengisian menarik telah diisi sepanjang program ini berlangsung. Antara kelainan yang dibawa adalah Aktiviti Ekspresi Ikat dan Celup dengan mewarnakan t-shirt putih menggunakan warna jalur gemilang iaitu kuning, merah dan biru secara serentak oleh semua peserta yang terlibat di muzium masing-masing. Penghayatan Rukun Negara juga dijadikan salah satu aktiviti wajib pada tahun ini sejajar dengan program dan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam memperkasakan pembudayaan prinsip Rukun Negara di semua peringkat.
Program ini juga dilihat sebagai satu tapak integrasi kepada para pelajar yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum, budaya, bangsa dan agama. Secara tidak langsung mampu memberi impak yang lebih besar ke arah memperkasakan generasi muda negara.
Ketua Setiausaha Perpaduan Negara menyatakan bahawa penganjuran program ini amat bertepatan dan sesuai kepada para pelajar bagi menerapkan nilai-nilai yang baik serta pemahaman terhadap citra negara. Kementerian Perpaduan Negara akan sentiasa memberi sokongan jitu terhadap apa jua program yang memberi penekanan kepada penyatuan masyarakat sama ada melalui kerjasama atau sinergi bersama agensi-agensi kerajaan, pihak swasta, NGO, organisasi, institusi pengajian tinggi mahupun pihak sekolah.