Manusia dicipta dengan kepelbagaian, tanda keagungan ALLAH

Manusia dicipta dengan kepelbagaian, tanda keagungan ALLAH

SEBAGAI manusia yang dijadikan ALLAH SWT dalam pelbagai kaum, agama dan budaya di muka bumi ini, kita dianjurkan supaya menyantuni perbezaan tersebut.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai manusia! sesungguhnya, KAMI telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian KAMI menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa. ALLAH MAHA MENGETAHUI LAGI MAHA TELITI.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Ayat itu jelas menjadi panduan kepada kita untuk menyantuni perbezaan tersebut.

Bahkan, ia juga sebagai tanda keagungan ALLAH SWT yang menjadikan makhluknya dalam pelbagai bentuk dan rupa. Orang yang paling mulia di sisi ALLAH adalah ketakwaannya.

Jika diperhalusi, akhir-akhir ini, kita menyaksikan pelbagai isu yang sensitif diketengahkan kerana perbezaan dalam masyakarat Malaysia. Situasi itu dilihat ibarat api dalam sekam, jika dibiarkan akan semakin membarah.

Mengulas mengenai fenomena itu, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Amanie Advisor Sdn Bhd, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, cabaran berbentuk kebencian, permusuhan dan perkauman dalam masyarakat boleh mengundang bahaya dan sangat berisiko tinggi.

MOHD DAUD

MOHD DAUD

“Di Malaysia, kita perlu mendalami, memperhalusi dan lebih mempercayai kepada konsep mendekati antara sama lain. Memang ada perbezaan dari segi kaum dan agama, tetapi itu bukanlah ruang atau peluang untuk membesar-besarkan keadaan.

“Kita perlu berani, mampu dan bersedia untuk bersama memahami perbezaan tersebut. ALLAH boleh menjadikan satu umat, satu warna kulit dan satu bahasa. Namun, ALLAH SWT menjadikan kita dalam pelbagai kaum dan etnik. Ini menunjukkan kebesaran ALLAH SWT agar kita mengambil peluang untuk saling mengenali dan saling menyantuni sesama kita,” katanya ketika ditanya pandangannya tentang kempen Uninstall Kebencian, Reboot Malaysia Harmony baru-baru ini.

Beliau ditemui selepas memberi ucaptama pada Majlis Minum Petang Hidayah Centre Foundation di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara di ibu negara pada 18 Januari lalu. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Centre Foundation, Nicholas Slyvester.

Pada majlis yang bertemakan Sampaikan Islam & Santuni Mualaf itu, seramai 50 penyumbang dana daripada agensi kerajaan, swasta dan individu telah diraikan.

Ujar Ahli Lembaga Pemegang Amanah Hidayah Centre itu lagi, untuk hidup bersama dan berintegriti secara harmoni bukan mudah. Justeru, menjadi fitrah makhluk di dunia untuk mencari jalan menghilangkan permusuhan dan kebencian yang melibatkan variasi bangsa dan agama.

Sumber