Malakat Mall terus sokong inisiatif World #QuranHour

Malakat Mall terus sokong inisiatif World #QuranHour

Malakat Mall, pasar raya yang sentiasa menyokong program berbentuk Islamik termasuk World #QuranHour. (Gambar kecil: Norden)

Malakat Mall, pasar raya yang sentiasa menyokong program berbentuk Islamik termasuk World #QuranHour. (Gambar kecil: Norden)

SHAH ALAM – World #QuranHour mampu menyuburkan budaya membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kalangan masyarakat.

Penasihat Media Malakat Mall, Norden Mohamed berkata, program tersebut juga akan memastikan masyarakat menjadikan al-Quran sebagai pegangan dalam apa jua aktiviti kehidupan seharian.

Menurut beliau, Malakat Eco menerusi Malakat Mall turut menjadi penggerak dan menyokong inisiatif World #QuranHour dengan menjadikan pusat beli-belah itu sebagai tempat berlangsungnya program tersebut.

“Seramai 100 orang kakitangan kami akan turut serta pada hari tersebut dan kami juga mengajak orang ramai untuk turut hadir ke Malakat Mall dalam program ini.

“Kami ada concourse area di Malakat Mall ini yang mana kami adakan tarawih serta qiamullail dan di situ juga akan diadakan program ini.

“Malah, sebelum program bermula, kami akan sedekahkan al-Quran kepada staf Malakat Mall dengan acara ringkas penyampaian itu disampaikan oleh Pengasas Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

World #QuranHour yang mengangkat surah Al-Sajdah sebagai surah pilihan pada kali ini akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana iaitu Studio TV Alhijrah pada 26 April ini.

Mengulas lanjut, Norden menegaskan, Malakat Mall akan terus menyokong program World #QuranHour untuk tahun-tahun akan datang.

Jelas beliau, ia selaras dengan konsep Malakat Mall sebagai sebuah pusat beli-belah Muslim dan segala aktiviti urusniaga adalah berpandukan agama dan al-Quran.

“Ini pertama kali Malakat Mall turut serta dalam program World #QuranHour dan apa juga aktiviti atau urus niaga yang kami lakukan semuanya bersandarkan kepada ketakwaan kepada ALLAH untuk kejayaan dunia akhirat.

“Di Malakat Mall juga ada 7 minute break iaitu apabila masuk azan semua kakitangan akan solat terutama lelaki yang disarankan untuk berjemaah. Kami memudahkan orang ramai untuk beribadah walaupun masuk ke pasar.

“Jadi wajib buat kami untuk menyokong program World #QuranHour dan dalam masa sama mengajak orang ramai sentiasa menjadikan al-Quran panduan dalam kehidupan,” katanya.

Sumber