Volvo Buses yang merupakan sebahagian dari Volvo Group, dan Gemilang International Ltd (Gemilang) adalah salah satu pengilang terbesar badan bas dan koc tempatan di Malaysia bersama-sama telah melancarkan model bas Volvo BZL-GML Eco Range yang serba baharu. Pelancaran ini menampilkan bas elektrik bandar kelas premium berlantai rendah dengan dua pintu yang pertama kali dibina di Malaysia oleh Volvo.
Ketika majlis pelancaran ini, satu sesi menandatangani perjanjian dengan Rapid Bus Sdn Bhd (“Rapid Bus”) telah diadakan untuk menandakan pelaksanaan operasi percubaan menggunakan Volvo BZL-GML Eco Range untuk perkhidmatan bas Rapid KL. Muhammad Yazurin Sallij, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, telah mewakili syarikat dalam majlis tersebut. Operasi percubaan dijadualkan akan bermula pada bulan Julai 2024 dan dijangka berlangsung sekurang-kurangnya enam (6) bulan hingga satu (1) tahun. Satu unit bas elektrik Volvo BZL-GML Eco Range akan dioperasikan di Laluan 581, yang membawa penumpang dari Desa Tasik ke LRT Bandar Tasik Selatan.
Bas tersebut telah menggabungkan pengalaman mobiliti elektrik Volvo di Eropah dengan inovasi dan kepakaran tempatan, yang terkenal dengan rekod cemerlangnya dalam menghasilkan badan bas elektrik, akan menawarkan aspek keselamatan, kecekapan, dan penyelesaian pengangkutan bebas emisi di kawasan bandar. Chasis dan komponen pacuan kuasa yang cekap tenaga daripada Volvo BZL telah dirangka dan dibina mengikut standard tertinggi di kilang pengeluaran Volvo di Sweden, menggunakan bahan premium dan reka bentuk struktur yang canggih untuk memberikan kapasiti penyimpanan tenaga dan kekuatan terbaik.
Menurut kedua-dua buah syarikat tersebut, bas bandar elektrik premium itu dijangka menjadi pengubah yang akan meningkatkan standard industri, sekali gus memperkasakan pertumbuhan segmen bas elektrik di Malaysia, selain mempercepatkan usaha mencapai masa depan yang lebih mapan.
Menyokong Transformasi Sektor Pengangkutan Awam dan Aspirasi Neutral Karbon Malaysia
Volvo BZL-GML Eco Range serba baharu menawarkan penyelesaian pengangkutan awam sifar emisi yang sememangnya selari dengan pelan Malaysia untuk meningkatkan jumlah penggunaan bas elektrik di bandar-bandar utama, bermula di Lembah Klang. Ia turut menyokong usaha elektrifikasi Rapid Bus yang akan menggantikan bas berenjin diesel yang digunakan sekarang dengan bas elektrik menjelang tahun 2030. Ia berhasrat untuk menghilangkan jejak karbon sektor pengangkutan awam secara beransur-ansur dan mengurangkan pencemaran udara di kawasan bandar. Usaha itu juga dilihat menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara neutral karbon menjelang tahun 2050.
Volvo BZL-GML Eco Range menawarkan penyelesaian berdaya maju dan menjadi cara yang lebih mesra alam untuk orang ramai bergerak. Ia dijangka dapat mengurangkan emisi karbon dioksida sehingga 60% atau sekitar 329kg bagi setiap penumpang setahun untuk setiap perjalanan sejauh 15,000km, jika dibandingkan dengan bas berenjin diesel bagi jarak perjalanan yang sama.
Kos Operasi Efisien dan Kapasiti Penumpang Lebih Tinggi
Dibina di atas varian chasis Volvo BZL 4×2, yang terkenal dengan sistem kuasa elektrik yang terbukti di seluruh dunia, GML Eco Range binaan tempatan direka untuk memberikan operasi bas bandar yang lebih efisien. Bas ini menampilkan rekaan lantai yang sepenuhnya rata dan rendah dari bahagian hadapan ke belakang, memberikan kestabilan dan akses yang lebih mudah kepada penumpang.
Badan bas ini juga mempunyai reka bentuk modular yang boleh dibina mengikut keperluan pelanggan. Reka bentuk modular menyumbang kepada kos pembaikan yang lebih rendah, mengurangkan tempoh tidak dapat beroperasi dan memudahkan urusan penyimpanan alat ganti.
Bas ini boleh membawa sehingga 91 orang penumpang dengan kapasiti 33 tempat duduk termasuklah kerusi keselamatan, kerusi untuk golongan tertentu, kerusi boleh lipat dan ruang penumpang berdiri, bergantung kepada pilihan panjang badan bas. Badan bas ini boleh diubah suai dari sepanjang 10.6 hingga 12.5 meter.
Ketahanan luar biasa dengan Standard Keselamatan Global
Volvo BZL-GML Eco Range dibina atas struktur tegar yang mematuhi standard keselamatan terketat yang telah diuji, diaplikasi, dan terbukti di Eropah. Rangkaian pacuan kuasa dipasang dengan pelbagai teknologi brek terkini, termasuk brek cakera Volvo, Sistem Brek Elektronik (EBS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Acceleration Slip Regulator (ASR), Brake Blending, Bantuan Mula Mendaki (HAS), dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC). Sebagai tambahan, ciri-ciri keselamatan lain seperti amaran pelepasan, amaran pelanggaran, kamera 360 darjah, dan e-cermin untuk membantu pemandu juga akan ditawarkan sebagai pilihan.
Chasis eletrik mempunyai sistem keselamatan multi lapisan dengan standard yang mematuhi syarat perundangan Eropah bagi memastikan tahap keselamatan maksimum sepanjang masa, terutama berkaitan dengan pengurusan suhu. Keselamatan sangat diambil berat dalam semua aspek Sistem Penyimpanan Tenaga bas tersebut. Ia melibatkan reka bentuk dan pek sel bateri, pencegahan litar pintas dan terputus sambungan, sistem pengurusan bateri serta kawalan pengurusan suhu bagi melindungi daripada kerosakan.
Dalam keadaan kerosakan yang agak mustahil untuk berlaku, sel bateri dan bahagian sekitarnya direka untuk ‘memadamkan dirinya sendiri’ dengan cara mengeluarkan agen menghapuskan suhu secara automatik supaya sel bateri berhampiran tidak rosak. Ciri itu terbukti berkesan dalam ujian yang telah dijalankan berulang-ulang kali.
Bas elektrik Volvo BZL-GML Eco Range menawarkan pengecasan yang fleksibel melalui perkakasan antara muka OppCharge untuk pengecasan berkuasa tinggi automatik dan soket pengecas CCS. Storan tenaga diletakkan di atas bumbung, sekali gus memberi ruang lebih luas kepada penumpang dan mengoptimumkan agihan berat.
Pengangkutan Urban Berkualiti
Bas Volvo BZL-GML Eco Range dilengkapi sistem pendingin udara yang berkuasa dan cekap. Ia disokong oleh Sistem Penyimpanan Tenaga yang mengoptimumkan bekalan tenaga supaya dapat digunakan dengan cara paling efisien.
Badan bas dibina menggunakan panel kaca dua salutan berkualiti tinggi yang membolehkan cahaya masuk ke dalam kabin pada waktu siang. Pada masa sama, kaca itu menghalang kemasukan haba panas matahari dan bunyi bising trafik dari luar. Semua ciri ini menjanjikan perjalanan yang senyap dan selesa dalam sebuah kabin yang cerah, sejuk dan menenangkan kepada semua penumpang Volvo BZL-GML Eco Range, seterusnya meningkatkan pengalaman perjalanan mereka di kawasan bandar.
Ruang pemandu pula dilengkapi kluster instrumen supaya bas ini mudah dipandu. Kerusi keselamatan direka secara ergonomik dan mekanikalnya untuk menawarkan pelbagai ciri ubah suai yang mampu meningkatkan keselesaan pemanduan secara keseluruhannya.
Rangkaian kuasa yang mencecah 400 kW (540 hp) membuatkan pecutan dan keupayaan menaiki bukit Volvo BZL-GML Eco Range sangat mudah, malah ia menawarkan kuasa tork yang serta-merta. Bas bandar elektrik Volvo BZL-GML Eco Range dijangka mengubah masa depan pergerakan di kawasan bandar apabila menawarkan pengalaman berbeza kepada pemandu dan penumpang di Malaysia.
Pengurus Negara Volvo Buses Malaysia, Marcus Mak berkata “Sebagai penyedia penyelesaian pengangkutan global yang fokus kepada inovasi termaju, matlamat Volvo adalah untuk menawarkan sistem bas elektrik yang paling selamat dan bertanggungjawab kepada dunia. Kami percaya bahawa mobiliti elektrik merupakan salah satu penyelesaian terbaik yang memberikan masa depan lebih baik buat semua. Pengenalan Volvo BZL-GML Eco Range akan menyumbang kepada alam sekitar yang lebih lestari menerusi sifar emisi. Pada masa sama memainkan peranan penting dalam mengukuhkan rangkaian industri melalui peningkatan pemahaman terhadap teknologi mobiliti elektrik termaju.”
Pengarah Eksekutif Gemilang International Ltd, Pang Jun Jie berkata, “Pengenalan trak Volvo BZL-GML Eco Range serba baharu hari ini ke pasaran tempatan memang tepat pada masanya kerana Rapid Bus sedang merancang untuk mengembangkan jumlah bas elektriknya sebagai sebahagian daripada program elektrifikasinya. Dengan kerangka badan aluminium, Volvo BZL-GML Eco Range menawarkan aspek ketahanan, tahap keselamatan dan prestasi alam sekitar luar biasa yang sesuai untuk digunakan sebagai kenderaan pengangkutan awam di Malaysia. Gemilang mempunyai matlamat yang sama dengan Volvo dalam mencapai kelestarian menerusi mobiliti elektrik, selari dengan inisiatif kerajaan untuk mengurangkan jejak karbon dan menggalakkan mobiliti hijau di Lembah Klang serta bandar-bandar utama yang lain.”