KPDN BERI AMARAN TEGAS JIKA TUKAR LABEL KAMPIT BERAS

KPDN BERI AMARAN TEGAS JIKA TUKAR LABEL KAMPIT BERAS

KULIM, 4 SEPTEMBER 2023 – OPS JAMIN telah dilancarkan pada 7 Julai 2023 melibatkan kolaborasi bersepadu di antara Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Penguat Kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) iaitu Kawalselia Padi dan Beras (KPB) bagi meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dan pemantauan seluruh negara dalam memastikan pengguna sentiasa mendapat keterjaminan bekalan beras yang mencukupi dengan harga yang stabil dan terkawal.

Kerjasama strategik yang melibatkan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan pemantauan antara agensi di antara KPDN dan KPKM melalui OPS JAMIN berperanan penting dalam mengenalpasti keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat pemborong hingga ke peringkat peruncit.

KPDN memberi jaminan akan menggiatkan pemeriksaan di bawah OPS JAMIN bagi membanteras isu penukaran label kampit beras yang dikhuatiri berlaku susulan pelarasan harga baharu bagi beras putih import (BPI) dan memberikan amaran tegas kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas.

Sehingga 2 September 2023, sebanyak 1,053 pemeriksaan di bawah OPS JAMIN telah dilaksanakan di seluruh negara hasil kolaborasi bersepadu KPDN dan KPKM yang melibatkan pemeriksaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit. Sejumlah 47 aduan yang diterima melibatkan aduan harga, bekalan dan lain-lain berkaitan beras telah disalurkan kepada KPKM untuk tindakan lanjut.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras [Akta 522] dan jika disabitkan boleh didenda sehingga RM25,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Lima Ribu) atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Ribu).

Selain itu, KPDN ingin memberi amaran keras terhadap mana-mana individu/syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu) atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua[1]duanya bagi orang perseorangan manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Ratus Lima Puluh Ribu).

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung isu kekurangan bekalan atau kenaikan harga beras, boleh menyalurkan aduan rasmi 3 kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:

Kawalselia Padi dan Beras

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)

i. Portal Aduan KPB: https://skpb.kpkm.gov.my/adu;

    ii. E-mel Rasmi: aduankpb@kpkm.gov.my; dan

    iii. Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya: 03-8870 1751/1748/1183.

    Bahagian Penguatkuasa

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

    i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000;

      ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my;

      iii. Call Centre 1-800-886-800;

        iv. E-mel e-aduan@kpdn.gov.my;

        v. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN, dan

        vi. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.