Khazanah Nasional catat untung RM1.6 bilion

Khazanah Nasional catat untung RM1.6 bilion

KHAZANAH Nasional Bhd mencatatkan keuntungan daripada operasi yang lebih tinggi iaitu RM1.6 bilion bagi tahun kewangan 2022 berbanding RM670 juta yang direkodkan pada tahun kewangan 2021 walaupun pasaran global yang mencabar dan tidak menentu.

Pengarah Urusan, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, prestasi keuntungan yang lebih memberangsangkan itu disumbangkan terutama oleh aktiviti pengewangan dan rosot nilai yang lebih rendah dalam portfolio.

“Wujud kebimbangan yang berterusan bahawa persekitaran inflasi dan keadaan monetari yang mengetatkan akan membawa kepada kemelesetan global, semakin buruk apabila ditambah dengan risiko geopolitik yang berlarutan.

“Walau bagaimanapun, pendekatan pelaburan berdisiplin Khazanah berpandukan Peruntukan Aset Strategik jangka panjang dan pengurusan portfolio aktif kami telah membantu mengharungi ketidaktentuan dalam pasaran, di samping mengekalkan disiplin dalam penciptaan nilai dan usaha pengewangan kami,” katanya semasa taklimat media mengenai prestasi kewangan 2022 Khazanah di sini, pada Selasa.

Dana kekayaan negara itu mengisytiharkan dividen RM500 juta bagi 2022 kepada kerajaan, menjadikan dividen terkumpul yang diisytiharkan sejak 2004 kepada RM17.1 bilion. – Bernama

Sumber