Kenali Muaz bin Jabal

Kenali Muaz bin Jabal

  • April 19, 2019
  • 0 comments

FIGURA ini digambarkan mempunyai wajah yang berseri, pandangan menarik dan gigi putih berkilat.

Sikapnya yang tenang memikat perhatian sesiapa yang melihat.

Jika anak muda ini bercakap, maka, orang yang melihatnya akan bertambah terpesona.

Beliaulah Muaz bin Jabal RA, seorang tokoh dalam kalangan Ansar yang turut serta dalam bai’ah ketika perjanjian Aqabah.

Istimewanya Muaz, beliau antara sahabat Rasulullah SAW yang paling pakar dalam bidang fiqh dan hal ehwal hukum Islam.

Darjah kehebatannya begitu tinggi sehinggakan layak menerima pujian daripada Rasulullah SAW dengan sabda baginda: “Umatku yang paling banyak mengetahui perkara halal dan yang haram ialah Muaz bin Jabal RA.”

Barangkali, kemampuan Muaz untuk berijtihad dan keberaniannya menggunakan otak, selain disokong oleh kecerdasan yang tinggi membuatkan beliau menguasai ilmu fiqh.

Bahkan, kecerdikannya itu turut mendapat pujian Rasulullah SAW sebagai ‘orang yang paling tahu tentang yang halal dan yang haram’.

Malah, beliau juga menjadi sumber rujukan Khalifah Umar al-Khattab RA.

Umar sering meminta pendapat dan buah fikiran Muaz.

Meskipun Muaz seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap kecuali atas permintaan ramai namun, jika mereka berbeza pendapat, beliau akan menjadi rujukan untuk memberikan satu keputusan.

Jika Muaz telah bersuara, seolah-olah dari mulutnya keluar cahaya dan mutiara!

Muaz meninggal dunia ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab RA pada usianya belum lagi mencecah 33 tahun.

(Sumber: Dr Khalid Muhammad Khalid)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge