Hyundai Kona Elektrik catat rekod dunia

Hyundai Kona Elektrik catat rekod dunia

MENERUSI cubaan terbaharu itu, Hyundai Kona Elektrik berjaya membuktikan keupayaannya sebagai sebuah SUV yang tahan lasak di dalam keadaan yang serba ekstrem.

MENERUSI cubaan terbaharu itu, Hyundai Kona Elektrik berjaya membuktikan keupayaannya sebagai sebuah SUV yang tahan lasak di dalam keadaan yang serba ekstrem.

KENDERAAN utiliti sukan (SUV) Hyundai Kona Elektrik berjaya mencatat Rekod Dunia Guinness apabila berjaya melengkapkan pendakian ke altitud setinggi 5,731 meter di Sawula Pass, Tibet, China.

Dalam kenyataan media Hyundai, SUV tersebut dikatakan tidak mengalami sebarang masalah prestasi ketika mencapai titik altitud paling tinggi.

Dengan pencapaian tersebut, Kona Elektrik telah membuktikan bahawa ia sememangnya sebuah SUV yang tahan lasak. Menghadapi pelbagai keadaan cuaca yang teruk seperti suhu sejuk melampau, salji yang berterusan termasuk permukaan jalan yang berais antara keupayaannya.

“Kona Elektrik juga dilengkapi dengan sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) yang dapat memastikan kestabilan kenderaan dalam setiap keadaan jalan yang diuji.

“Sepanjang tempoh cabaran, model tersebut dicas menerusi pengecas mudah alih yang disertakan bersama dengannya. Ia juga tidak mengalami sebarang masalah sepanjang pendakian,” kata kenyataan itu baru-baru ini.

Semasa turun dari puncak, sistem penjanaan semula kuasa yang pintar memastikan SUV tersebut sentiasa mempunyai kuasa yang mencukupi.

Diperkenalkan pada tahun 2018, Kona Elektrik menawarkan jarak pemanduan sejauh 452 km dengan satu cas penuh. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan unit pengecas mudah alih dan juga AC Wall Box Charger untuk kegunaan di rumah.

SUV tersebut juga didatangkan dengan waranti tiga tahun tanpa had perbatuan, manakala pek baterinya dilindungi oleh waranti untuk lapan tahun atau 160,000 kilometer perjalanan.

Sumber