Hukum pinjamkan pakaian kepada orang bukan Islam

DALAM kalangan adik-beradik, bertukar-tukar pakaian atau meminjam pakaian menjadi kebiasaan.

Bukan itu sahaja, kadangkala pakaian abang atau kakak yang sudah tidak muat boleh dipakai oleh si adik nanti.

Sementara, dalam satu situasi lain, bagaimana jika orang bukan Islam mahu meminjam baju atau seluar kita?

Adakah orang Islam boleh meminjamkan pakaian mereka kepada orang bukan Islam?

Pada asalnya, dalam bab muamalat ialah memberikan kebaikan dan keuntungan kepada manusia selagi mana tidak melibatkan perkara yang haram, demikian pendapat Imam al-Syathibi.

Dalam bab muamalat juga tidak disyaratkan bahawa mereka yang ingin melakukannya mesti Islam.

Bahkan, harus bermuamalat dengan orang Islam asalkan mengikut prinsip syarak.

Hukum bermuamalah dengan orang bukan Islam diharuskan pada syarak termasuk sama ada dari sudut jual beli, hutang-piutang dan selainnya.

Nabi Muhammad SAW pernah menggadaikan baju besi baginda kepada orang Yahudi seperti diriwayatkan dalam sahih al-Bukhari.

Terdapat juga riwayat yang sahih menyatakan baginda pernah meminjam wang atau makanan daripada orang Yahudi.

Bahkan, al-Quran mengisyaratkan bahawa najis kepada orang Musyrik kerana kesyirikan yang dilakukan dan bukannya kepada tubuh badannya.

Oleh itu, tidak menjadi sesuatu yang haram meminjamkan baju atau seluar kepada orang bukan Islam dengan syarat menjaga pakaian itu daripada terkena perkara yang dilarang oleh syarak seperti arak dan selainnya.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah bebas dan penulis.



Sumber

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *