GiatMara harumkan nama Malaysia di persada dunia

GiatMara harumkan nama Malaysia di persada dunia

Masakan tidak, empat pelatih institusi itu yang tampil dalam bidang masing-masing telah diiktiraf dalam Medallion of Excellence WorldSkill Competition 2019 Kazan Rusia baru-baru ini.

Mengulas mengenainya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Latihan dan Keusahawanan GiatMara, Ahmad Hamdi Ibrahim berkata, pelatih kursus Teknologi Fesyen GiatMara Saratok, Sarawak iaitu Hanafi Osman dinobatkan Best of Nation dan Medallion of Excellence WorldSkills Competition 2019 Kazan Rusia selepas menduduki ranking ke-4 daripada 32 penyertaan seluruh dunia.

Tiga lagi pelatih lain, Amir Syazwan Saridan (GiatMara Taiping, Perak), Muhammad Amierul Aliff Abd Aziz (GiatMara Kota Tinggi, Johor) dan Haziq Fauzi Abdul Jalil (GiatMara-UniKL MFI, Kuala Lumpur) turut dinobatkan sebagai pemenang pada pertandingan sama.

“Hanafi berjaya menonjolkan bakat terbaiknya dalam bidang teknologi fesyen manakala Haziq Fauzi dalam bidang penyejukbekuan dan pendingin hawa, Amir Syazwan dalam bidang pemasangan elektrik dan Muhammad Amierul Aliff pula dalam bidang susunan bata.

“Pencapaian itu membuktikan komitmen GiatMara dalam usaha merealisasikan visi menjadi pusat latihan teknikal dan vokasional sepanjang hayat yang terunggul dan diiktiraf di peringkat negara serta antarabangsa,” katanya.

Ahmad Hamdi yang juga ketua pasukan GiatMara Innovation and Commercialization Centre (GICC) berkata, galakan menghasilkan pelbagai reka cipta yang diterapkan dalam diri pelatih mampu menyuntik semangat luar biasa.


“Setiap dua tahun sekali, kami akan menganjurkan BeSkill untuk pelatih dan tenaga pengajar sebagai pengiktirafan model inovasi yang berpotensi untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi.

“Mana-mana alat peralatan yang layak akan dibawa ke GICC untuk tujuan komersial termasuk inovasi CocoCut dan Mesin Pembakar Lemang Berirama. GICC juga masih dalam usaha untuk mereka bentuk semula dan tambah baik model sedia ada bagi memastikan prosedur berjalan lancar dengan kerjasama kementerian,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *