Fakulti hadis, aku datang

Fakulti hadis, aku datang

HARI pertama menjejakkan kaki ke Fakulti Hadis dan Pengajian Islam Universiti Islam Madinah sememangnya mendebarkan. Masakan tidak, pelbagai persoalan yang menerjah fikiran, menggusarkan perasaan: Layakkah aku bergelar penuntut ilmu hadis Nabi s.a.w? Adakah mampu pelajar yang tiada asas seperti aku ini untuk memahami apa yang disampaikan? Bagaimana pula jika aku gagal di pertengahan jalan? Mampukah aku menjadi ilmuwan hebat seperti fulan dan fulan?Adakah ini yang aku dambakan dalam kehidupan?Apakah hikmah di sebalik penceburanku dalam bidang ini yang Allah SWT telah rancangkan?

Saya memang seorang yang sentiasa runsing dengan persoalan-persoalan diri yang belum terjawab. Sebolehnya saya akan cuba untuk mencari jawapan kepada kerunsingan tersebut. Justeru antara langkah pertama yang saya lakukan setelah mendapat jadual kelas ialah cuba mengenali tenaga pengajar bagi setiap subjek pada semester tersebut dan apakah jenis subjek yang wujud dalam jadual. Saya akan cuba bertanya pada senior berkenaan cara dan karakter syeikh-syeikh dan inti pati subjek-subjek yang diajar mereka. Segalanya baru bagi saya!

Secara jujurnya, tatkala melihat kepada ketebalan mudzakkirat (nota-nota) dan kitab-kitab yang digunakan sebagai rujukan dalam subjek, saya berasa panik dan cemas! Bayangkan untuk satu subjek hadis sahaja, sekitar 150 hadis yang perlu dihafal bulat-bulat dalam tempoh sekitar 4 bulan, dan kemudian huraiannya pula mencecah sekitar 200 halaman yang penuh dengan permasalahan, dalil-dalil serta fakta-fakta yang perlu difahami dan diingati. Yang lebih menggerunkan, dikhabarkan bahawa syeikh yang mengajar subjek tersebut sangat ketat penilaiannya dan keras sikapnya! Untuk semester pertama sahaja, ada 8 subjek yang perlu dipelajari, 5 jam setiap hari dalam tempoh 5 hari seminggu. Bagi pelajar baharu yang tiada asas seperti saya, situasi seperti itu memang menggugat ketenangan saya!

Saya akui ketika itu saya belum lagi memahami erti keikhlasan dalam menuntut ilmu, belum lagi mempunyai minat dalam bidang hadis yang saya ceburi. Saya merasakan diri saya ketika itu bagaikan terperangkap dalam sebuah pulau asing yang saya hanya perlu buat yang terbaik sahaja untuk survive. Justeru beban sebagai penuntut ilmu ketika itu masih lagi tidak dapat saya nikmati kelazatannya. Ketika itu masih teramat sedikit tokoh-tokoh hadis yang boleh dijadikan inspirasi di bumi Malaysia, itupun saya masih belum mengenali mereka mahupun terinspirasi, apatah lagi tokoh-tokoh di negara Tanah Haram yang saya masih baharu lagi keberadaan saya di sana. Walau demikian saya tetap merasakan ada keseronokan dan kepuasan menimba ilmu di bumi Hijrah tersebut yang sukar digambarkan. Perasaan tersebutlah yang menggagahkan diri ini untuk terus cuba menerokai bidang yang digeruni ramai pelajar ini.

Pengurusan Masa Makan

Saya sebenarnya merupakan seorang yang sangat menitik-beratkan disiplin masa. Saya sukar bertolak ansur dengan pihak yang tidak menghormati masa termasuk di kalangan rakan-rakan sendiri. Jika saya telah berjanji dengan seseorang untuk melakukan sesuatu pada masa yang telah disepakati bersama, saya akan cuba hadir lebih awal, bahkan beberapa jam sebelum waktu yang dijanjikan, saya telah berasa runsing dan asyik melihat-lihat jam. Oleh kerana sikap tersebut, saya sering “panas” dengan sikap masyarakat Arab yang rata-ratanya saya dapati tiada disiplin waktu. Tidak kurang juga dengan rakan-rakan Melayu yang sering mengambil mudah perihal masa sehingga saya berasa banyak membuang masa untuk berurusan dengan mereka. Barangkali sebahagian rakan-rakan agak kurang senang dengan saya kerana menganggap saya agak syadid (ketat) dan ada yang meminta saya lebih bertoleransi dalam hal ini.

Kelas saya di sana ketika zaman tersebut statik waktunya, setiap hari 5 jam sesi belajar dari pukul 8 pagi sehingga 1 tengah hari. Secara peribadi saya lebih gemar dengan jadual sedemikian kerana ia lebih memudahkan saya mengatur perancangan seharian saya. Maka rutin saya setiap hari kuliah hampir sama sahaja, iaitu selepas sahaja tamat sesi kelas, saya akan menunaikan solat zohor, kemudian pulang ke bilik untuk makan tengah hari. Kadangkala saya cenderung untuk makan di kantin universiti kerana ia agak murah dan menjimatkan masa, namun menunya yang serupa hampir setiap hari membuatkan saya lekas berasa jemu. Walau bagaimanapun memasak sendiri tetap lebih menyelerakan dan menjimatkan wang.

Secara tradisinya, rakan-rakan seangkatan dari Malaysia akan ditempatkan dalam satu blok penempatan yang sama. Maka kebanyakan mereka akan berpakat untuk sesi makan tengah hari bersama dan mengatur jadual memasak dan menyediakan makanan. Namun saya mengambil keputusan untuk masak dan makan sendirian kerana ia lebih menjimatkan banyak masa, bukan kerana tidak gemar bersosial dengan rakan-rakan. Kebiasaannya pakatan memasak ini akan memulakan masakan setelah pulang dari kelas. Proses memasak, menyediakan makanan sehingga dimakan ahli kumpulan ini barangkali memakan masa lebih satu jam. Belum dikira dengan masa berbual, melepak dan sebagainya yang hanya meninggalkan sedikit sahaja lagi waktu untuk asar.

Bagi saya pula, sangat penting untuk saya tidur antara waktu zohor dan asar ini setelah penat berkuliah selama 5 jam. Maka saya biasanya akan memasak sekali atau dua kali seminggu yang saya masak sekali banyak lalu disimpan di dalam peti ais. Setiap kali hendak makan, saya akan mengeluarkan kuali simpanan dan memanaskannya di atas mini gas di bilik sementara menanak nasi. Jadi proses saya makan tengah hari hanya memakan masa sekitar 20 minit sahaja, lalu saya boleh tidur lebih lama sementara menanti asar. Teringat saya akan imam al-Nawawiy yang hanya mahu makan minum sekadarnya sekali sehari sahaja kerana tidak mahu mengganggu masa dan kualiti dirinya daripada menuntut ilmu. Manakala kita pula makan 3 kali sehari paling kurang sambil berborak keduniaan sehingga menjejaskan waktu belajar. Di manakah kita berbanding beliau??

Fokus & Ulangkaji

Universiti Islam Madinah menyediakan bas-bas pengangkutan pergi dan pulang untuk para pelajarnya ke masjid al-Nabawiy setiap hari. Waktu yang ditetapkan ialah selepas Asar hingga Maghrib dan pulang selepas solat Isyak. Maka tempoh selepas solat Maghrib merupakan waktu yang digunakan oleh ramai pelajar untuk merebut ganjaran solat di masjid Nabi s.a.w serta menghadiri majlis-majlis ilmu yang ada di sana. Penuntut-penuntut ilmu boleh mengetahui majlis-majlis yang disampaikan dan mengambil jadual pengajian daripada pihak pengurusan masjid. Dengan itu kita boleh memilih majlis pengajian yang ingin kita tekuni dan lazimi berdasarkan ketetapan waktunya. Terdapat pelbagai jenis pengajian dari pelbagai bidang yang disampaikan oleh tenaga pengajar terpilih yang kesemuanya merupakan pakar dalam bidang masing-masing yang terkenal dan disegani.

Jika saya tidak ke masjid al-Nabawiy, saya akan mengulang kaji serta menelaah apa yang saya pelajari disiang hari ketika kuliah atau membaca apa yang perlu untuk menambah kefahaman saya dalam suatu ilmu yang dicari. Manakala jika ke masjid al-Nabawiy, saya akan melakukan perkara tersebut setelah pulang dan makan malam. Sejujurnya saya bukan seorang yang sangat rajin atau pandai seperti rakan-rakan lain. Saya kagum dengan beberapa orang sahabat yang mampu konsisten (istiqamah) dengan jadual harian mereka dalam menuntut ilmu. Adapun saya, saya cuma mampu berdoa supaya dikurniakan sifat istiqamah tersebut yang saya rasakan sukar dicapai kerana diri saya yang lebih mengutamakan penjiwaan dalam apa yang dilakukan. Justeru jika tiada feel, itu akan membantutkan konsistensi saya.

Namun saya seorang yang fokus dan berusaha mencari jalan yang memudahkan apa yang saya lakukan. Dalam pengajian misalnya, saya akan menetapkan suatu tempoh untuk membaca atau mengulang kaji suatu subjek satu jam misalnya, dan saya akan fokus sebaik mungkin terhadap perkara tersebut untuk menguasainya sebaik mungkin. Memandangkan saya seorang yang berjiwa seni sejak kecil, saya cenderung untuk menghayati sesuatu dengan suatu lakaran seni atau gambar rajah atau apa-apa elemen seni lain. Justeru dalam konteks pengajian saya, saya gemar membuat peta minda beraneka warna dalam setiap topik yang dibaca atau diulang kaji supaya saya lebih mudah mengingati serta memahaminya. Mungkin kedengaran aneh, namun saya lebih pantas mengingati sesuatu dengan meniru gaya dan intonasi guru saya dalam subjek tersebut ketika mengulang kaji. Bagi saya setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya tersendiri, dan bagi pihak diri sendiri, saya cuba mengenal pasti kelebihan serta kekurangan diri ini demi memaksimumkan efisiensi hasil kerja saya.

Kepentingan Catatan

Pesan ‘Umar RA, Ibn ‘Abbas RA dan Anas RA bahawa ilmu itu perlu dicatat [Taqyid al-‘Ilm: al-Khatib al-Baghdadiy]. Saya melihat ramai daripada kalangan pelajar Melayu pengajian Islam yang mengambil ringan hal ini. Sepanjang tempoh saya belajar dan mengajar, saya begitu jarang mendapati pelajar Melayu yang cuba mencatat semaksimum mungkin penyampaian guru. Rata-ratanya sekadar mencatat sedikit faedah-faedah ringkas, atau lebih gemar bergantung pada hasil usaha pihak lain. Kebanyakan pelajar kelihatan terpedaya dengan psikologi majlis ilmu iaitu dengan merasakan diri seakan mampu mengingati segala atau kebanyakan apa yang didengari, walhal ketika itu mereka sebenarnya bergantung kepada kefahaman bukan hafalan! Apa yang kita rasa ingat ketika itu sebenarnya faham, dan kefahaman tersebut jika tidak dikekalkan dalam memori atau tulisan, ia akan hilang dalam beberapa tempoh. Justeru kita mendapati apa yang kita fahami dalam suatu majlis ilmu itu apabila ditanyakan keesokan harinya tentang perkara tersebut kita tidak mampu menjawabnya kerana kita telah lupa kefahaman tersebut! Pesan al-Sya’biy: “Jika kamu dengar akan sesuatu, maka catatlah ia kerana kamu akan memerlukan ia suatu hari nanti” [Taqyid al-‘Ilm: al-Khatib al-Baghdadiy].

Apa yang lebih dikesali ialah catatan merupakan simbol keazaman dan kegigihan kita sebagai penuntut ilmu. Bagaimana kita ingin menimba ilmu jika kita tidak mengutipnya?Saya melihat hal ini jauh berbeza dengan pelajar-pelajar luar negara seperti Yaman dan India. Mereka ini berusaha bersungguh-sungguh mencatat segala yang disampaikan oleh syeikh, dan saya melihat pada wajah-wajah mereka ini penuh keghairahan ketika mencatat seolah-olah mereka tidak ingin membiarkan faedah-faedah yang disampaikan terlepas pergi walau satu pun! Jika ada yang terlepas catatan, mereka akan menyalinnya daripada tulisan rakan-rakan yang sempat mencatatnya. Pengamatan saya terhadap mereka ini sebenarnya yang mengubah persepsi serta memberi inspirasi kepada saya untuk dijadikan teladan penting dalam proses menuntut ilmu ini. Teringat saya akan kata-kata seorang tabi’in bernama Sa’id bin Jubayr: “Aku pernah ketika belajar dengan Ibn ‘Abbas mecatat di atas helaian catatanku sehingga memenuhinya, kemudian aku tulisnya di atas seliparku, kemudian (setelah penuh juga) aku tulisnya di atas telapak tanganku” [Taqyid al-‘Ilm: al-Khatib al-Baghdadiy].

Maka saya juga berusaha membuat catatan atau nota sendiri dari awal semester pengajian saya, dan saya akan memperuntukkan masa untuk memperkemaskan catatan-catatan saya dengan menambah apa-apa maklumat daripada rujukan luar dan menyusunnya mengikut “ijtihad” saya. Tidak dinafikan usaha tersebut memakan banyak masa kerana ia perlu dibuat rujukan kepastian dari kitab-kitab berkaitan, disusun, disemak, dan kadangkala perlu disalin semula kerana catatan-catatan peribadi di kelas tulisannya agak teruk kerana terpaksa fokus untuk pendengaran dan kepantasan dalam catatan.

Namun saya lakukan semua itu untuk faedah diri sendiri jua, kerana proses tersebut akan menuntut kita membaca serta meneliti berulang kali sehingga kita mampu memahami serta mengingatinya dengan baik. Bagi saya jika kita benar-benar inginkan ilmu, kita tidak seharusnya menangguhkan usaha sedemikian hingga ke tempoh akhir semata-mata untuk kejayaan dalam peperiksaan, bahkan apa yang perlu ialah karakter sebagai penuntut ilmu itu yang perlu digarap dan dibina dalam diri semua insan yang mendakwa diri sebagai penuntut ilmu supaya ianya terus berkekalan sebagai sikap, bukan sebagai penuntut peperiksaan yang hanya inginkan markah yang baik semata. Jika tidak, segala ilmu tersebut akan “tebang” pergi sejurus selepas tamatnya peperiksaan, dan itulah realiti yang berlaku pada kebanyakan “penuntut ilmu”!



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *